Nor Idayu bersemangat, maklum balas pengundi positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim mengakui bantuan daripada pimpinan dan jentera parti banyak membantu dalam aktiviti kempen menjelang saat-saat akhir.

- Advertisement -

Nor Idayu berkata, tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi akan digunakan sepenuhnya untuk turun ke lokaliti bagi menemui seramai mungkin pengundi terutama kumpulan sasar, lapor portal bersatu.org.

Menurutnya, setakat ini beliau sudah menemui hampir 70 peratus pengundi di DUN Tioman.

“Kami akan gunakan peluang pada saat akhir ini dengan melipatgandakan aktiviti bagi menarik seramai mungkin pengundi kepada PN.

“Dengan bantuan pemimpin PN yang datang silih berganti selain jentera yang terus bersemangat membantu, Insya-Allah PRU15 DUN Tioman ini akan memihak kepada PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini, hari ini. (Foto atas)

Nor Idayu berkata, jadual aktiviti beliau cukup padat setiap hari, namun terus bersemangat apabila melihat maklum balas pengundi yang begitu positif.

Beliau adalah calon wanita tunggal pada PRU15 DUN Tioman yang menghadapi saingan daripada penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini sementara pengundian awal hari ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pengundian di DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari mengundi 19 November. – HARAKAHDAILY 3/12/2022

- Advertisement -