‘Insya-Allah saya yakin Tioman kita punya’

Nor Idayu menziarahi orang sakit. sempena kempen PRU15 DUN Tioman.
- Advertisement -

ROMPIN: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman melahirkan keyakinan PERIKATAN NASIONAL mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada 7 Disember depan.

- Advertisement -

Beliau yang datang ke sini bersama lebih 20 pemimpin PAS Kawasan Masjid Tanah bagi meninjau perkembangan semasa dan membantu kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Tioman, hari ini

“Alhamdulillah kami lebih kurang enam kereta mari sini, pertama atas semangat solidariti,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah ketika ditemui di Bilik Operasi DUN Tioman di Kampung Janglau, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, mereka datang untuk membantu kempen yang secara kebetulan jentera PAS Pahang membantu semasa Pilihan Raya Negeri Melaka di DUN Linggi sebelum ini.

Beliau yang menganggap Jabatan Pilihan raya Negeri Pahang sebagai guru yang banyak lagi pihaknya belajar dalam melaksanakan gerak kerja pilihan raya.

“Saya ambil kesempatan ini untuk sama-sama menyokong walaupun tidak dapat seluruh Pahang hari itu, sekurang-kurangnya Tioman ini kita dapat dengan masa dan tenaga yang sedikit ini kita nak sama-sama bantu untuk kejayaan Pahang.

“Kami doakan insya-Allah, kami pun dari semalam datang melihat perkembangan-perkembangan seperti seluruh kawasan di Tioman ini. Insya-Allah saya yakin Tioman ini kita punya dan dengan jentera negeri Pahang sendiri, kita juga dapat membantu di DUN Tioman,” ujarnya lagi.

Ustaz Imran Abdul Rahman

Ustaz Imran amat yakin dengan situasi yang ada hari ini, kemenangan akan berpihak kepada PERIKATAN NASIONAL.

Katanya, antara aktiviti mereka yang datang itu menyebarkan risalah kempen dan melihat sendiri sikap pengundi selepas pasca pilihan raya yang berlangsung 19 November lalu.

“Jadi insya-Allah kami semua akan jumpa komuniti ke tempat orang ramai untuk sama-sama mengetahui sikap pengundi itu,” ujarnya lagi.

Calon PERIKATAN NASIONAL, Nor Idayu Hashim pada PRU15 DUN Tioman berdepan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 28/11/2022

- Advertisement -