PN dapat undi tinggi di saluran pengundi muda

Bakri Jamaluddin (tiga dari kanan) bersama Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad (empat dari kanan)
- Advertisement -

TANGGA BATU: PERIKATAN NASIONAL (PN) mendapat undi yang tinggi di saluran pengundi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana tawaran PN yang menepati kehendak golongan itu.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, berkata anak muda mahu pemimpin yang menawarkan solusi masalah mereka dan bukan hanya berpolitik.

Katanya, tawaran yang PN kemukakan berjaya mencetus gelombang di peringkat nasional dan negeri ini sehingga mendapat sokongan anak-anak muda.

“Ketika berkempen, kita bawa tawaran bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi anak muda. Sedangkan sebelum ini, kita lihat ramai anak muda benci politik berikutan gelagat sesetengah pemimpin politik.

“Alhamdulillah, kita bawa ‘budaya politik matang dan sejahtera’ serta menawarkan solusi terhadap masalah anak muda sehingga mereka tertarik,” katanya.

Bakri memenangi kerusi Parlimen Tangga Batu dengan majoriti 8,849 undi apabila mendapat 37,406 undi mengalahkan empat calon lain dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan bebas.

Pada peringkat awal, beliau mengakui tidak menjangka akan menang, namun setelah memasuki fasa berkempen, sambutan masyarakat setempat sangat baik.

“Di mana sahaja kita pergi, masyarakat ajak berselfie. Kita rasa ini satu gelombang dan saya yakin ia bukan saja berlaku di Tangga Batu, tetapi di peringkat nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -