Jerantut boleh dijadikan destinasi huffaz negara – Khairil Nizam

Khairil Nizam (tengah) bersama penduduk pada satu majlis di Jerantut.
- Advertisement -

JERANTUT: Calon PERIKATAN NASIONAL di Parlimen Jerantut pada PRU15, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, beberapa perkara yang ingin diperjuangkan kepada rakyat di daerah ini.

- Advertisement -

Katanya, antara isu yang ingin diselesaikan adalah bagaimana untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk di Jerantut.

“Jerantut ini dihadiahkan dengan Taman Negara, bagaimana kita ingin mengadakan satu ekosistem supaya ecotourism boleh dilaksanakan di Jerantut.

“Dalam keadaan sekarang ini rakyat Malaysia setiap minggu ingin bercuti di dalam negara, tetapi kenapa Jerantut tidak menjadi destinasi pelancongan di dalam negara?” ujarnya ketika berucap pada satu majlis, di sini.

Menurutnya, itu yang perlu dibawa supaya apabila berlaku perkembangan ekonomi dalam ecotourism, maka ia akan meningkatkan keupayaan industri hiliran di peringkat Jerantut dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Kedua, kalau kita membaca pendekatan anak muda di Jerantut ini, anak muda di Jerantut ini dia takkan keluar dari Jerantut.

“Kebanyakan ingin duduk berkampung di Jerantut, sekiranya ingin kita sediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Jerantut, kalau terkeluar dari Jerantut, pergi ke daerah Maran, sebelahnya pun, ataupun Kuala Krau, kebanyakan daripada mereka masih memilih untuk duduk di Jerantut,” katanya.

Oleh yang demikian, kata beliau perlu meningkatkan keupayaan ekonomi di daerah ini.

“Di antaranya ialah kita perlu meningkatkan pertanian cara moden yang boleh kita pastikan dengan, barangkali dengan tanah terbiar yang kita berikan kepada anak murid ini, mereka boleh tingkatkan keupayaan tanah tersebut dan boleh mencapai pendapatan dengan lingkungan RM100,000 setahun. Ini antara perkara yang perlu kita fikirkan,” tambahnya.

Selain itu, katanya adalah usaha untuk menjadikan Jerantut sebagai destinasi huffaz negara.

Ini, jelasnya kerana di Jerantut ada sekurang-kurangnya 14 maahad tahfiz di samping ramai ilmuan.

“Sekiranya ilmuan dan juga maahad tahfiz ini boleh disatukan di bawah satu konsortium, maka kita boleh jadikan Jerantut sebagai destinasi pelancongan islamiah, hendak pergi taman negara, dia boleh singgah dulu ke maahad tahfiz untuk mendengar ceramah, mendengar kuliah.

“Ini kita boleh laksanakan, kita boleh jadikan ia sebagai satu pakej pelancongan ilmiah, islamiah di dalam negara ini khususnya di peringkat Pahang,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat

Beliau menjelaskan, apa yang dinyatakan itu adalah isi kandungan yang ada di dalam tawaran manifesto PERIKATAN NASIONAL negeri.

Tambahnya, dalam erti kata lain PN melihat secara keseluruhan semua di negeri Pahang ini dan meletakkan beberapa keperluan penting rakyat ke dalam buku manifesto tersebut.

“Insya Allah, manifesto itu, kita akan cuba laksanakan sekiranya kita diberi peluang untuk mentadbir Pahang ini, khususnya Jerantut,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -