Momentum PERIKATAN NASIONAL di timur, utara luar biasa

- Advertisement -

KOTA BHARU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa syukur memandangkan sambutan masyarakat terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) khususnya di Kelantan, Kedah dan Perlis begitu membanggakan.

- Advertisement -

Katanya, hasil tinjauannya di beberapa negeri sebelum ini momentumnya sangat luar biasa.

“Momentumnya sangat menarik khususnya apabila ada dalam kalangan pemimpin Umno dan BN berpaling tadah di Kedah, Perlis dan Terengganu di mana mereka bertanding atas tiket kita,” katanya kepada media selepas majlis santai Temu Rakyat Bersama Masyarakat Antara Kaum di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu calon PN Parlimen Kota Bharu Dato’ Takiyuddin Hassan dan pemimpin masyarakat Cina dan India.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, ada pemimpin Umno yang datang membantu untuk menyokong calon dan berkempen pada PRU-15.

“Syukur Alhamdulillah kita memang berpuas hati dengan perkembangan berlaku sekarang,” ujarnya.

Katanya juga PAS dan PN membawa konsep politik matang dan sejahtera dengan tidak menyerang pihak lawan, sebaliknya menerang sesuatu perkara sekiranya masyarakat tidak memahami.

Hadir sama dalam program berkenaan pemimpin kaum Cina dan India antaranya Pengerusi Gabungan Persatuan Teong Hwa Kelantan, Dato’ Ooi Poh Chun, wakil masyarakat bukan Islam Dr Foo Say Hun dan Timbalan Pengerusi Kelantan Hindu Maha Saba, B Jeyabalan.

Hampir 200 orang hadir pada program yang menghimpunkan masyarakat bukan Islam yang terdiri dari kaum Cina, India dan Siam di Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -