Siapa Khairuddin minta penyokong PAS sokong BN – Nik Amar

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Pihak luar tiada hak untuk memberi sebarang arahan atau cadangan kepada penyokong PAS supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak layak untuk berbuat demikian kerana dia bukan pemimpin PAS.

“Bukan kerja dia (Khairuddin) untuk minta penyokong PAS undi BN, siapa dia tu..” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2021 Kerajaan Negeri Kelantan di sini petang semalam.

Pada majlis itu seramai 565 pelajar menerima cenderahati dari kerajaan negeri sebanyak RM500 tiap seorang.

Bagaimanapun sebahagian besar penerima diwakili ibu bapa masing-masing memandangkan mereka sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Hadir sama Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Pengarah YIK Engku Rajhan Engku lsmail.

Mohd Amar bagaimanapun yakin penyokong PAS bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan individu daripada luar parti.

Khairuddin Ahad lalu menyaran ahli dan penyokong PAS mengundi calon BN ketika berucap pada Program Bersama Veteran Umno di pekarangan Pejabat Adun Seberang Takir, Kuala Terengganu. – HARAKAHDAILY 1/11/22

- Advertisement -