Strategi tepat calon PN di Kelantan tanding logo bulan

- Advertisement -

Oleh CHAN MANZIL

KOTA BHARU: PAS Kelantan merakamkan penghargaan kepada pimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) Pusat kerana memberi laluan kepada calon PN di Kelantan menggunakan lambang bulan.

- Advertisement -

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, lambang ‘bulan purnama’ lebih dekat di hati penduduk kampung memandangkan ia sudah digunakan sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya, kehadiran lambang baharu PN dibimbangi menyebabkan ada pengundi keliru memandangkan mereka sudah biasa dengan lambang PAS.

“Lagi pun bagi kawasan dominan Melayu/Islam persaingan hanya antara PAS dengan Umno sejak merdeka lagi. Jadi penduduk hanya kenal lagi bulan dan dacing sahaja.

“Kesediaan pimpinan PN pusat memberi laluan itu diharap dapat menyuntik semangat jentera kempen PAS dan Bersatu di Kelantan. Ia langkah yang tepat,” katanya di sini.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan Zulkifli Mamat pula berkata, petugas PAS akan membantu kempen semua calon PN termasuk daripada Bersatu.

Katanya, PN bertanding di kesemua 14 kawasan Parlimen di Kelantan dan dijangka tidak menghadapi tentangan sengit bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lepas.

Pada PRU14 PAS menang di sembilan kerusi, manakala lima lagi dikuasai BN. Bagaimanapun dua kerusi BN bertukar kepada Bersatu selepas penyandangnya menyertai parti terbabit.

Dato’ Seri Mustapa Mohamed menang di parlimen Jeli sejak 2004 sehingga PRU lepas. Manakala Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz pula menang di parlimen Tanah Merah.

Calon baharu Bersatu dijangka memberi cabaran sengit di kerusi parlimen Gua Musang, Machang dan Ketereh. Difahamkan Machang akan diwakili calon dari Armada Nasional dan Ketereh pula bekas pegawai kanan tentera.

Sementara itu berdasar kajian senario politik PRU15 akan ditentukan hayunan pengundi muda yang lebih dikenali ‘First Time Voters’ (FTV) yang rata-ratanya terdiri daripada generasi millennial berumur sekitar 18 tahun.

Pengundi golongan 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik membentuk sekitar lebih 6 juta pemilih.

Malah faktor Pengundi Luar (PL) juga turut memainkan peranan penting dalam usaha menstabilkan kemenangan kepada setiap parti yang bertanding 19 November ini.

Perebutan kerusi Parlimen bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak.

Bagaimanapun enam negeri lain di Semenanjung Malaysia tidak membubarkan DUN iaitu tiga negeri yang diterajui PAS – Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri blok Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar PRU-15 seramai 21,173,638 juta mewakili lelaki 10,551,486 juta (49.83 peratus), manakala pengundi wanita seramai 10,622,151 juta (50.17 peratus).

Pecahan terperinci pengundi PRU15 terdiri daripada pengundi biasa 20,905,366 juta (98.7 peratus), pengundi tidak hadir yang berada di luar negara 2,741,000 juta (12.9 peratus) dan selebihnya undi pos membabitkan anggota pasukan keselamatan dan petugas SPR serta media.

Jika dipecahkan mengikut kategori umur pengundi berdaftar berumur antara 18 hingga 29 tahun sebanyak 6,007,978 juta orang (28.3 peratus), 30-39 tahun 4,681,348 juta (22.1 peratus), 40-49 tahun 3,645,248 juta (17.2 peratus), 50-59 tahun 3,027,498 juta (14.2 peratus) dan 60-69 tahun 2,277,070 juta (10.5 peratus).

SPR menetapkan penamaan calon 5 November 2022, hari mengundi awal (15 November) dan Hari Mengundi 19 November.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November sehingga jam 11.59 malam 18 November (Jumaat). – HARAKAHDAILY 30/10/2022

- Advertisement -