MELIHAT kepada suasana politik dalam Kelantan sejak minggu lepas, dengan kibaran bendera bulan di serata ceruk, menunjukkan bahang Pilihan Raya Umum kian terasa. Ia disulami cakap-cakap dan ‘bahas mulut’ antara penyokong merentasi ideologi sama ada BN, PH, PN dan juga GTA di kedai kedai kopi, premis pejabat, tangga masjid serta di mana sahaja. Media sosial juga meriah dengan pelbagai kempen serta serangan ke atas semua parti.
Kawasan-kawasan Parlimen yang bakal ditandingi, khasnya oleh Parti Islam Se-Malaysia PAS, dipenuhi dengan panji-panji hijau putih sejak hari pertama Parlimen dibubarkan. Baik di dalam bandar-bandar utama seperti Kota Bharu, Kuala Krai, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian dan juga bahagian tengah serta hulu Kelantan di Jeli serta Gua Musang. Semua anggota parti telah bersiap sedia sepenuh jiwa untuk memenangkan semua 14 Parlimen di negeri ini.
Bagi yang celik mata, terbuka jiwanya, akan dapat menilai betapa jentera-jentera PAS sentiasa bersemangat tinggi demi perjuangan Islam. Merentasi Sungai Kelantan menuju ke Tumpat, sampai sahaja di Pasir Pekan, kibaran bendera PAS memenuhi pagar jalan raya hingga ke bulatan Pasir Pekan.
Bahkan segenap ceruk DUN dalam Tumpat, sama ada Kelaboran, Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu dan Pasir Pekan sendiri, bendera PAS dipasang dan berkibar megah. Bilik bilik operasi juga semakin banyak dibuka dan menjadi lokasi hangat para jentera berhimpun untuk berbincang memenangkan PAS di Parlimen ini.
Justeru amat tidak tepat jika Sinar Harian melaporkan bahawa adanya jentera PAS yang ‘mogok’ di kawasan ini. Ia adalah satu laporan daripada wartawan yang tidak melakukan ‘homework‘ dengan baik serta menulis semata-mata dengan arahan pihak tertentu yang berniat jahat.
Dakwaan kononnya anak perantau juga tidak akan pulang mengundi sekiranya PAS meletakkan calon lain dalam PRU ini juga dianggap sesuatu yang melucukan. Sinar Harian patut tahu dan sedar bahawa penyokong PAS yang baik dan setia, khasnya ahli PAS sendiri sentiasa mendengar serta taat akan semua arahan serta keputusan parti.
Mereka ini telah sebati kefahaman diri mereka selaras dengan pesanan almarhum Tok Guru Nik Aziz dahulu kepada perantau iaitu, ‘Ore Kelate di perantauan kena kelik ngundi, hak mampu naik kapal terbang baliklah dengan terbang, hak naik keretapi dengan bas kelik lah cara tu, hak ada kereta pandulah sendiri, hak ada motosikal tungganglah balik, bahkan kalau perlu merangkak balik demi mempertahan Kerajaan Islam Kelantan, maka merangkaklah!’
Itulah dia semangat anak perantau yang sekian lama sehingga kini kekal berkobar kobar dalam jiwa masing-masing. Itu tidak dikira dengan pengorbanan ahli-ahli PAS di kawasan Tumpat itu sendiri yang sentiasa terbuka hatinya untuk menerima sesiapa sahaja yang diputuskan oleh parti untuk bertanding.
Justeru, ‘shame on you‘ Sinar Harian atas laporan yang kurang waras dan bermotif jahat. Semoga wartawan yang terbabit insaf dan bermuhasabah diri.
ANAS KARIMI AHMAD THANI – HARAKAHDAILY 30/10/2022