Cameroon punca banjir dahsyat di Nigeria – NEMA

Pelepasan air yang berlebihan dari Empangan Lagdo di Cameroon Utara didakwa antara punca utama Nigeria dilanda banjir besar kali ini. (FOTO: Facebook - Rivers Mirror)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

LAGOS: Banjir terburuk yang melanda Nigeria dalam tempoh lebih sedekad dan telah meragut 603 nyawa kini menyebabkan kira-kira 2.5 juta penduduk terjejas, didakwa turut berpunca daripada pelepasan air yang berlebihan dari Empangan Lagdo di Cameroon Utara.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria (NEMA) dalam kenyataannya pada Rabu (19 Okt) waktu tempatan, mendakwa pihak pengurusan empangan tersebut telah memulakan pelepasan air yang berlebihan dari takungan pada 13 September 2022, lapor The National Online.

“Kami sedar bahawa aliran air yang dilepaskan mengalir ke Nigeria (dari Empangan Lagdo di Cameroon) melalui Sungai Benue dan anak sungainya sehingga membanjiri kawasan penempatan penduduk yang sebelum itu telah terjejas akibat dilanda hujan lebat,” ujar kenyataan itu.

Mala petaka banjir yang terbaharu ini telah meragut sekurang-kurangnya 603 nyawa di Nigeria. (FOTO: The New York Times)

Siasatan yang dilakukan NEMA membawa kepada penemuan bahawa mala petaka banjir yang melanda Nigeria itu dilabelkan sebagai ‘di luar kawalan’.

“Walaupun keadaan banjir yang dahsyat telah berlaku berulang kali di Nigeria, namun naratif yang berbeza telah dikemukakan sebagai punca.

“Banjir di Nigeria  kali ini telah dikaitkan dengan hujan lebat, limpahan sungai tempatan, dan kesan buruk perubahan iklim tetapi yang paling utama, ia adalah berpunca daripada pelepasan air yang berlebihan dari Empangan Lagdo di Cameroon Utara,” jelas kenyataan NEMA itu lagi.

Kira-kira 1.3 juta penduduk Nigeria kehilangan rumah masing-masing akibat bencana banjir kali ini. (FOTO: The United Nations)

Sementara CNBC turut melaporkan bahawa bencana banjir di Nigeria itu dicetuskan oleh hujan lebat dan pelepasan air dari Empangan Lagdo di Cameroon.

Sehubungan itu, kerajaan Nigeria telah mengemukakan pelan tindak balas di peringkat nasional untuk kerajaan negeri dan tempatan, di samping telah menyediakan bekalan makanan dan perubatan  kepada negeri-negeri yang terjejas dengan banjir berkenaan.

Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nigeria, Matthias Schmale pula erkata, perubahan iklim memainkan peranan dalam memburukkan lagi malapetaka banjir di negara itu.

Banjir kali ini telah melanda di 30 buah negeri daripada keseluruhan 36 negeri di Nigeria. (FOTO: Democracy Now Org)

Peningkatan suhu telah mendorong lebih banyak penyejatan di atmosfera, membawa kepada kejadian kerpasan yang lebih kerap dan sengit serta keadaan kemarau.

“Perubahan iklim adalah nyata, kerana kini ia berlaku (mencetuskan banjir teruk) di Nigeria,” katanya. 

Menteri Hal Ehwal Kemanusiaan Nigeria, Sadiya Umar Farouq sebaliknya pula menyentuh tentang kegagalan pihak berkuasa di negeri-negeri dan kerajaan tempatan  negara mengambil tindakan segera yang mencukupi untuk bersiap sedia menghadapi banjir berkenaan, walaupun ia sudah diramalkan.

Beliau sehubungan itu menggesa agar pihak berkenaan dan rakyat Nigeria sentiasa memberikan perhatian terhadap ramalan iklim.

Bencana banjir yang melanda Nigeria memburukkan lagi keadaan di negara yang berdepan dengan krisis kelaparan itu. (FOTO: BBC)

Farouq juga menyeru pihak berkuasa negeri-negeri dan kerajaan tempatan negara itu untuk bersiap sedia menghadapi lebih banyak banjir dengan memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan yang berpotensi berlaku  ke kawasan tinggi, serta menyediakan khemah, bahan bantuan termasuk makan dan bekalan perubatan kepada mangsa.

“Terdapat amaran dan maklumat yang mencukupi mengenai banjir 2022, tetapi pihak berkuasa negeri, kerajaan tempatan dan masyarakat nampaknya tidak mengambil perhatian yang serius mengenainya,” ujar kenyataan beliau dalam twitter miliknya. 

Terdahulu, Farouq berkata lebih 1.3 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat hujan lebat dan banjir yang merebak ke 30 daripada 36 negeri di negara itu, lapor Daily Sun Nigeria.

“Kami telah merekodkan 603 kematian sejak banjir bermula tahun ini dan kira-kira 2.5 juta orang terjejas,” ujarnya.

Kegagalan pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan bertindak segera susulan amaran banjir juga dikaitkan dengan mala petaka dahsyat ini di Nigeria. (FOTO: Medafrica Times)

Beliau berkata 2,407 mengalami kecederaan, dengan 82,053 rumah dan 332,327 hektar (821,198 ekar) tanah ladang rosak sepenuhnya akibat banjir.

Menurut laporan UCA News pula, Farouq dilaporkan sebagai berkata bahawa lebih 603 nyawa  telah terkorban setakat 16 Oktober (waktu tempatan) lepas. 

“Jumlah korban sebelum ini dari minggu lepas ialah 500 orang, tetapi jumlah itu meningkat sebahagiannya kerana beberapa pihak berkuasa negeri dan kerajaan negeri tidak bersedia menghadapi banjir. 

“Banjir itu turut memusnahkan sepenuhnya lebih 82,000 rumah dan hampir 110,000 hektar (272,000 ekar) kawasan tanah ladang,” katanya lagi. 

Rakyat Nigeria kini memerlukan bantuan masyarakat dunia untuk meringankan beban yang ditanggung mereka. (FOTO: Ghanaian Times)

Pada 2012, seramai 363 orang maut dan lebih 2.1 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir yang melanda negara itu.

Bencana banjir menambahkan lagi masalah yang dihadapi Nigeria selepas keadaan ekonominya bergelut hebat kesan daripada perang serangan Rusia terhadap Ukraine.

Pengeluar beras  di Nigeria telah memberi amaran bahawa bencana banjir yang dahsyat itu boleh menjejaskan harga jualan bahan makanan utama negara  yang mempunyai kira-kira 200 juta penduduk, yang mana pengimportan beras diharamkan untuk merangsang pengeluaran  beras tempatan.

Unit Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB pada bulan lalu  mengeluarkan kenyataan bahawa Nigeria adalah antara enam negara yang berdepan risiko tahap tinggi krisis kelaparan yang teruk. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -