Indonesia akan roboh Stadium Kanjuruhan – Jokowi

Stadium Kanjuruhan di Malang, Indonesia
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Indonesia akan merobohkan dan membina semula stadium bola sepak yang tragedi rempuhan mengorbankan lebih 130 orang bulan ini.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang membuat keputusan itu juga berikrar untuk mengubah secara menyeluruh sukan nombor satu di negaranya.

- Advertisement -

“Stadium Kanjuruhan di Malang…kami akan merobohkannya dan membina semula mengikut piawaian FIFA,” katanya kepada wartawan di Istana Merdeka selepas bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Tindakan polis melepaskan gas pemedih mata di Stadium Kanjuruhan, langkah kawalan orang ramai yang diharamkan oleh FIFA dipersalahkan sebagai punca kejadian rempuhan maut pada 1 Oktober lalu

Presiden Indonesia berkata, beliau bersetuju dengan Infantino mengenai perubahan penting terhadap cara sukan itu diuruskan di Indonesia.

“Kami bersetuju untuk mengubah sepenuhnya bola sepak Indonesia. Setiap aspek persiapan…perlu berdasarkan piawaian FIFA,” katanya.

Pertemuan antara Jokowi dan Infantino diadakan selepas Indonesia dan FIFA bersetuju untuk membentuk satu pasukan petugas bersama susulan tragedi stadium itu dan ketika negara itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun pada 2023.

Sementara itu, Infantino berkata keutamaan utama FIFA adalah untuk memastikan keselamatan pemain dan peminat di negara Asia Tenggara itu.

“Ini adalah sebuah negara bola sepak, sebuah negara yang bola sepak menjadi minat utama lebih 100 juta orang. Kami berhutang kepada peminat bola sepak bahawa apabila menonton perlawanan, mereka selamat dan terjamin,” katanya.

Infantino yang memberikan jersi merah FIFA dengan namanya tertera kepada Jokowi sebagai cenderahati berkata, badan bola sepak global itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Indonesia untuk memastikan semua stadium memenuhi piawaian keselamatan bagi memastikan Piala Dunia Bawah 20 tahun berjalan lancar.

Pasukan pencari fakta yang dibentuk oleh kerajaan Indonesia mengeluarkan laporan minggu lalu yang membuat kesimpulan bahawa penggunaan gas pemedih mata berlebihan dan secara sembarangan adalah punca utama kematian dalam tragedi di Malang.

Peminat terperangkap ketika cuba keluar dari stadium selepas pasukan tuan rumah, Arema FC tumpas kepada Persebaya Surabaya. Malah, lebih 40 kanak-kanak bawah umur mati akibat sesak nafas.

Laporan itu juga mengenal pasti faktor penyumbang lain, termasuk jumlah penonton yang melebihi kapasiti stadium, pintu keluar terkunci dan desakan pegawai liga untuk mengadakan perlawanan pada waktu malam bagi mendapatkan penarafan yang lebih baik untuk penyiar tempatan, walaupun polis meminta supaya perlawanan sengit itu diadakan pada waktu siang.

Pasukan pencari fakta juga mendedahkan bahawa rakaman lebih tiga jam CCTV mengenai keadaan selepas perlawanan itu telah dipadamkan. Pasukan itu juga meminta polis memberikan rakaman itu serta menggesa ketua Persatuan Bola Sepak Indonesia meletakkan jawatan.

- Advertisement -