PRU15: Kelangsungan usaha Penyatuan Ummah

- Advertisement -

SITUASI politik negara kini terletak di tangan pimpinan parti politik dan rakyat Malaysia sebagai pengundi yang akan memilih kerajaan baharu setelah YAB Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 dengan perkenan SPB YDPA.

- Advertisement -

Kedengaran juga di sana sini, ada yang berkata mungkinkah kali ini ‘pilihan raya terkejut?’ macam ‘raya terkejut’ tahun ini ya? Di kala ketika ini kebanyakan sekolah sedang membuat persiapan bagi ujian Pra-UPKK, peperiksaan percubaan SPM dan tidak terkecuali sekolah-sekolah yang biasanya dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

Semuanya menanti pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tarikh-tarikh penting agar demokrasi benar-benar subur untuk memberi ruang dan peluang kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang telah menjadi pengundi automatik.

Seruan agar semua pihak mengambil langkah sewajarnya dengan merancang cuti dan seumpamanya demi menunaikan tanggungjawab kepada negara. Ingat! Jika kita ingin melihat masa depan negara yang lebih baik, kita mesti keluar memilih pemimpin yang berintegriti tinggi dan berjiwa rakyat.

Sikap yang tidak ambil endah terhadap perkembangan politik tanah air sebenarnya agak membimbangkan sedangkan kita semua mempunyai ruang dan peluang untuk membina sebuah negara Malaysia Sejahtera dengan acuan Islam yang sebenar dan pastinya menjamin keadilan buat semua.

Usaha Penyatuan Ummah bukan eksklusif kepada PAS dan Umno sahaja malah usaha ke arah mengembalikan penguasaan majoriti 2/3 Parlimen kepada golongan majoriti Bumiputera Islam memerlukan keterlibatan yang menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

Pendirian PAS sebagaimana diungkap Tuan Guru Presiden menolak sekeras-kerasnya Pakatan Harapan (PH) kerana dianggap ‘gelap ggugup’ dan menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang kini masih berada dalam keadaan ‘keruh’. Maka, perlu kepada penjernihan bagi membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

Mengambil contoh Parlimen Tambun dengan status keputusan PRU14 kalah 0-3 kepada PH boleh berubah menjadi kemenangan 3-0 jika dapat menjadikan 1 lawan 1 dengan PH. Formulanya boleh dibuat dengan memberi laluan kepada BERSATU bertanding di Parlimen Tambun, PAS bertanding di DUN Manjoi dan Umno bertanding di DUN Hulu Kinta menentang PH.

Sememangnya begitulah hakikat usaha Penyatuan Ummah yang dibawa oleh PAS dengan mengajak Umno bersama BERSATU membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebagai permuafakatan baharu politik dan kemudiannya turut didukung bersama parti gabungan yang tidak ekstrem. 

Insya-Allah permuafakatan itu akan memberi manfaat lebih besar kepada kerajaan memerintah dengan lebih baik bagi menawarkan kesejahteraan hidup buat kita semua. 

ZULFAHMI RAMLI
Rakyat Malaysia
15 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 15/10/2022

- Advertisement -