PRU15: Rakyat kenal pemimpin tamak kuasa

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yakin rakyat Malaysia mengenali pemimpin yang tamak kuasa serta mencabul kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu juga yakin rakyat memahami tanggungjawab memilih pemimpin bertanggungjawab dan akan menolak pemimpin yang terpalit tuduhan rasuah.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata walaupun pihaknya kecewa dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam, namun percaya mandat rakyat mestilah disempurnakan.

“Rakyat mesti memilih pemimpin dengan sebaiknya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dengan memilih pemimpin dan parti yang bertanggungjawab kepada kedaulatan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zai, juga menzahirkan rasa kecewa dengan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat akhir tahun ini sedangkan ramalan cuasa menunjukkan akan berlaku monsun timur laut yang akan mengakibatkan berlaku banjir besar di seluruh negara.

“UMMAH juga merasa kecewa dan berpendirian sama dengan kenyataan Yang di-Pertuan Agong semalam, bahawa Baginda telah menzahirkan rasa kecewa dengan susana perkembangan politik negara mutakhir ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan sewajarnya menumpukan kepada usaha membantu kebajikan dan kesejahteraan rakyat berdepan bencana dan banjir.

Bagaimanapun UMMAH menerima pembubaran dan menyeru supaya semua pemimpin dan parti politik melayu Islam terus bermusyawarah ke arah memperkasa agenda muafakat politik.

Tindakan itu katanya bagi mengekalkan dominasi kuasa politik melayu Islam di 110 kerusi dominan melayu Islam.

“UMMAH juga menyeru ummat Islam terus memberikan sokongan kepada penyatuan muafakat politik Islam bagi mengukuhkan kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -