Pemimpin Umno diundang hadiri sambutan 32 tahun MBI

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan mengundang pemimpin Umno dan Bersatu menghadiri sambutan ulang tahun ke-32 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang akan diadakan bermula 19 hingga 22 Oktober ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, surat jemputan sudah dihantar kepada pemimpin terbabit untuk menghadiri program berkenaan.

Katanya, surat itu dihantar melalui Umno Kelantan bagi menjemput pemimpin utama parti terbabit pada program terbabit.

“Kita juga mengundang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin komponen Perikatan Nasional (PN) hadir pada program tersebut.

“Pemimpin utama Umno, Bersatu dan komponen PN diberi ruang berucap pada program terbabit 21 Oktober ini sempena sambutan ulang tahun ke-32 dasar MBI yang akan diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya di sini.

Program tersebut dikenali sebagai Himpunan Penyatuan Ummah turut menampil pemimpin utama PAS termasuk Presiden Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Sambutan ulangtahun 32 MBI itu akan bermula jam 10 pagi 19 Oktober dengan karnival usahawan dimeriahkan jualan usahawan, pameran agensi kerajaan dan Jualan Keluarga Malaysia.

Pada 3 petang diadakan aktiviti E-Sport dan 9 malam konsert Amin Spring & Renggo.

Pada hari kedua (20 Oktober) aktiviti Jelajah GO Digital, himpunan pesilat dan Kelantan Berselawat pada sebelah malam.

Hari ketiga (21 Oktober) diteruskan dengan gerai jualan usahawan, pameran agensi kerajaan, sukaneka kanak-kanak, mewarna, pentas Muslimah, pentas pemuda, kuliah Ustaz Azhar Idrus dan ceramah Himpunan Penyatuan Ummah.

Hari terakhir (22 Oktober) bermula dengan kayuhan sihat jam 7 pagi, jualan usahawan, pameran agensi serta majlis penutup dan cabutan bertuah kayuhan dan pesrembahan dikir barat.

Wan Roslan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan berkata, program sambutan ulang tahun ke-32 akan diadakan solat hajat dan doa selamat.

“Semoga sambutan 32 tahun ini dapat diterus dengan dasar yang baik untuk rakyat Kelantan di bawah dasar MBI dan Merakyatkan MBI yang diterapkan kepada seluruh rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -