Menjawab Ahli Parlimen Kota Melaka

- Advertisement -

SAYA terpanggil untuk memberi respon kepada beberapa laporan portal berita berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka bahawa beliau mahu Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dibubarkan kerana tidak berfungsi dengan baik.

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa tersebut ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan jauh terpesong.

Antara isu yang di ketengahkan ialah:

1. Gagal memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Kenyataan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana surat pemakluman dan jawapan daripada Penasihat Undang-undang (PUU) Parlimen Malaysia telah diedarkan pada 4 Ogos 2022 kepada semua ahli jawatankuasa termasuk beliau sendiri setelah dirujuk kepada PUU berkaitan jawapan balas KP SPRM kepada surat panggilan Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) untuk beliau hadir ke prosiding jawatankuasa ini.

Maklum balas dan nasihat PUU amat penting untuk dirujuk agar prosiding JKPK JPM tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan.

2. Isu LCS.

Cadangan memanggil SPRM untuk memberi taklimat berkaitan isu LCS tidak diterima oleh saya. 

Pada pandangan saya, apa perlunya untuk memanggil SPRM kerana sudah jelas berdasarkan laporan akhbar pada 11 Ogos yang lalu, siasatan SPRM sudah selesai dan telah diserahkan kepada Peguam Negara. Boleh rujuk di sini: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/08/987337/siasatan-projek-lcs-sudah-lengkap-sprm 

3. Jarang bermesyuarat.

Saya ingin menegaskan jawatankuasa ini bukanlah jawatankuasa yang paling sedikit bermesyuarat berbanding JKPK lain. Pada tahun 2022 jawatankuasa ini sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat dan ada juga mesyuarat yang telah ditetapkan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana apabila SUDR memanggil beberapa pihak dan agensi di bawah jawatankuasa tersebut namun tidak kesampaian kerana beberapa masalah teknikal di peringkat agensi yang terlibat.

Oleh kerana itu gesaan Ahli Parlimen Kota Melaka untuk membubarkan jawatankuasa ini adalah sangat tidak tepat. Dek hanya mempunyai agenda yang tidak jelas. Bak kata pepatah: Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang.

Akhirnya, saya sedikit bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi agensi bawah Jabatan Perdana Menteri ini mempunyai banyak agensi di bawahnya. Saya juga sangat berharap ahli-ahli terutamanya Kota Melaka turut berperanan dengan lebih baik untuk kelangsungan jawatankuasa ini.

Sekian.

YB ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi agensi bawah Jabatan Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -