Hukuman berat, penguatkuasaan tegas pelihara alam sekitar

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) ketika melancarkan Yayasan Strategik Lestari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyedari aspek penguatkuasaan juga perlu dimantapkan bersama hukuman yang lebih berat melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022.

RUU ini yang dibentangkan untuk kali pertama Isnin lalu, manakala bacaan kali kedua hari ini, meningkatkan hukuman hingga RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual, selain di premis yang ditetapkan.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata selain RUU itu yang menjadikan undang-undang alam sekitar negara lebih komprehensif, aspek penguatkuasaan adalah elemen penting.

Bagi meningkatkan tindakan penguatkuasaan, pertama sekali katanya, KASA memerlukan kemudahan, peralatan teknologi lebih canggih dan pakaian seragam penguat kuasa yang nampak tegas dan ini turut dimasukkan dalam pindaan RUU ini.

“Di sesetengah negeri hanya ada satu, dua atau tiga pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan tidak semua daerah ada pejabat. Apabila berlaku pencemaran, penguat kuasa kena segera ke tempat kejadian supaya bukti itu tidak hilang.

“Namun sekarang ini, kesedaran awam semakin bagus, mereka (orang ramai) rakam (pencemaran) dan hantar maklumat kepada kita. Saya keluar arahan kepada Ketua Pengarah JAS, kalau sebelah pagi terima aduan, saya nak siasatan aduan di meja saya pada petang itu. Alhamdulillah, setakat ini kita berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Yayasan Strategik Lestari (YSL) di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Pengerusi TV Alhijrah merangkap Pengasas YSL, Prof Dato’ Dr Halim Tamuri; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YSL, Prof Dato’ Dr Mohd Yakub Mohd Yusoff; dan Ketua Pegawai Eksekutif YSL, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, YSL akan menjadi nilai tambah kepada program lestari negara yang memberi fokus kepada kelestarian alam sekitar, pendidikan dan pembangunan nilai kelestarian.

Menurutnya, YSL tidak bertindak sendirian, tetapi bersifat saling melengkapi dengan yayasan lain yang turut memperjuangkan isu kelestarian alam sekitar.

“Kita lihat keperluan kepada penubuhan YSL untuk pelbagai pihak turut menyumbang ke arah kelestarian,” katanya.

Beliau berkata, YSL juga bertujuan membina kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk memelihara alam sekitar dan antara peranan YSL ialah membantu dari segi penyelidikan dan sebagainya.

Katanya, matlamat misi YSL juga adalah untuk perkongsian bagi pengembangan semua peluang dalam teknologi hijau, termasuk peluang ekonomi, selain meningkatkan kesedaran dan kesihatan awam berhubung perubahan iklim yang memberi kesan terhadap semua pihak.

“YSL akan mewujudkan usaha sama dengan pelbagai pihak, termasuk institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan tertentu untuk bersama kerajaan dalam mencapai objektif yang disusun KASA.

“Kita juga berhasrat membawa YSL ke peringkat lebih luas dan bertaraf antarabangsa seperti terlibat dalam seminar, simposium dan sebagainya yang melibatkan isu kelestarian,” katanya.

Beliau berkata, bagi Fasa 1 untuk tempoh 2022-2023, tiga program dirancangkan oleh YSL, iaitu khidmat masyarakat, kempen kesedaran dan penyelidikan mengenai kelestarian alam sekitar. – HARAKAHDAILY 5/10/22

- Advertisement -