Kapasiti padat murid di sekolah diberi perhatian

- Advertisement -

KPM komited untuk menangani keadaan sekolah padat dengan pelbagai pendekatan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Selain memberi keutamaan untuk membuka sekolah baharu di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi, KPM turut meneliti pendekatan dalam pengurusan sekolah dengan bilangan murid yang padat, termasuk keadaan kantin.

KPM prihatin terhadap keadaan kantin sekolah yang tidak mampu menampung kapasiti semua murid ketika waktu rehat, khususnya di sekolah dengan bilangan murid yang ramai. Keadaan ini menyebabkan sesetengah sekolah perlu menjadualkan sehingga 5 sesi waktu rehat di mana ada di antaranya bermula seawal jam 8:30 pagi untuk memenuhi waktu rehat bagi semua kelas.

Pagi tadi saya meninjau situasi anak-anak semasa waktu rehat dengan berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2). Ketika saya tiba, keadaan di kantin sekolah agak padat dengan murid tahun 5 dan 6 sedang menikmati makanan yang dibeli di kantin atau bekal yang dibawa dari rumah pada waktu rehat. Sekolah ini mempunyai 1,900 murid dengan 3 jadual waktu rehat. Sesi pertama adalah pada jam 9:10 pagi.

Antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan keadaan ini berlaku adalah peningkatan murid yang ketara sehingga sekolah mengalami kepadatan murid sedangkan kantin hanya mampu menampung jumlah murid yang kecil.

Dalam hal ini, KPM sedang merangka satu penyelesaian menyeluruh untuk menangani situasi tersebut. Tumpuan khusus adalah kepada sekolah yang mengalami peningkatan jumlah murid dan memiliki kantin yang kecil sepertimana sewaktu mula dibina dan beroperasi.

KPM akan ikhtiarkan yang terbaik demi memastikan persekitaran kantin yang lebih kondusif dan selesa untuk anak-anak kita, insya-Allah.

DATO’ DR MOHD RADZI MD JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -