Penambahbaikan proses pilihan raya di bawah JKPK

- Advertisement -

PEJAM celik, genap 11 tahun Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya ditubuhkan dan kini, ‘benih’ yang disemai sudah mula dapat dituai untuk memastikan sistem demokrasi di Malaysia terus subur. Berbekalkan kudrat sembilan ahli, termasuk saya dan dipengerusikan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, jawatankuasa ini mengemukakan 32 syor, masing-masing 10 syor awal dan 22 syor lanjutan.

Antara 10 syor awal meliputi penggunaan dakwat kekal, pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran kawasan pendaftaran (alamat pusat mengundi), pembersihan daftar pemilih, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan, ketelusan proses mengundi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Syor lanjutan pula antara lain merangkumi ‘pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak’ seperti terkandung dalam halaman ke-54, Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya DR. 1 Tahun 2012. Keperluan ini semakin menekan selepas nisbah Malaysia Timur (Sabah, Sarawak, Singapura) pasca keputusan republik ‘Kota Singa’ untuk keluar dari Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965 menyusut kepada sekadar 25 peratus.

Peratus pegangan kerusi yang pada asalnya disandang Singapura ketika itu diberikan kepada Malaysia Barat atau Semenanjung, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan dari segi agihan ‘suara’ di Dewan Rakyat. Menyedari hakikat ini, usaha dirintis untuk menyeimbangkan semula ‘neraca demokrasi’ di Malaysia.

Pada 8 September lalu, Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MKMA63) memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus (33 daripada 222 kerusi) Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, selepas ia diperhalusi dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Mimpi Sarawak-Sabah akhirnya bakal menjadi nyata, justeru merungkai sentimen Negeri Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu yang sebelum ini rasa terpinggir atau dihakis hak mereka.

Harapan saya, semoga siapa sahaja yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara kelak, wajar berusaha untuk merealisasikan matlamat mengembalikan hak Sarawak-Sabah.

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -