PRU: Jangan pentingkan politik hingga tidak peduli rakyat

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa semua parti politik tidak mengutamakan kepentingan berpolitik semata-mata hingga sanggup tidak mempedulikan kepentingan rakyat dalam negara.

Ketuanya, Senator Ustaz Dato’ Ahmad Yahya berkata, desakan yang berterusan terhadap pembubaran Parlimen dengan tujuan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin dengan berselindung di sebalik alasan kehendak ‘akar umbi’ dan ‘menyerah mandat kepada rakyat’ perlu diteliti semula atas dasar kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik semata-mata.

Ini, ujar beliau supaya urusan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang lebih utama hendaklah terlebih dahulu diselesaikan.

- Advertisement -

Menurutnya, unjuran keadaan cuaca yang tidak menentu serta musim peralihan monsun merupakan tanda awal kepada perlunya kesiapsagaan yang rapi menghadapi kemungkinan bencana banjir yang besar.

Ironinya, kata beliau dalam keadaan yang tidak menentu ini ada pihak yang masih tegar mahu melaksanakan pilihan raya ketika rakyat sedang diselubungi kebimbangan.

“Sewajarnya semua pihak diingatkan tentang banjir puing yang dahsyat melanda beberapa negeri termasuklah negeri di Pantai Barat pada penghujung thaun lalu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, walaupun banjir sebesar itu jarang sekali berlaku, namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, unjuran kebarangkalian berlakunya banjir-banjir besar oleh agensi tertentu tetap berasas.

Katanya, rakyat pernah dikecewakan dengan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 ketika rakyat dan negara masih dihimpit pandemik Covid-19 ketika itu.

“Lebih mendukacitakan adalah pelaksanaan PRN tersebut dirujuk menjadi punca penularan sporadik kes yang kembali mencatatkan peningkatan selepasnya,” ujar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Oleh sebab itu, katanya Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan agar semua pihak bertenang terlebih dahulu, menyelesaikan isu-isu rakyat dalam fasa endemik ini serta memastikan penggal pemerintahan berakhir sebelum melaksanakan PRU.

Beliau berkata, ahli politik tidak mengira latar belakang seharusnya mengambil iktibar terhadap rantaian isu yang berlaku dalam negara ini.

“Jangan disebabkan sikap segelintir yang masih berdegil, habis rosak susu sebelanga,” tambahnya. 

Menurutnya lagi, Dewan Ulamak PAS Pusat juga sentiasa menegaskan bahawa antara matlamat berpolitik adalah tanggungjawab menjaga keperluan dan kebajikan rakyat.

“Apalah ertinya jika politik hari ini meminggirkan tujuan dan matlamat tanggungjawab terhadap rakyat?” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -