TH: Bukti wibawa PAS kemudi pentadbiran

Berjaya kembalinya kepercayaan rakyat kepada Tabung Haji

- Advertisement -

SEMALAM, Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan keuntungan separuh pertama tahun 2022 sebanyak RM1.47 bilion, dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion selepas ditolak peruntukan zakat. Keuntungan ini disumbangkan oleh peningkatan mendadak jumlah deposit dengan nilai terkini RM88.09 bilion, paras tertinggi yang pernah direkodkan TH sejak 59 tahun penubuhannya.

Bagaimana jumlah deposit TH boleh meningkat sebegitu tinggi? Jawapannya adalah disebabkan kembalinya kepercayaan rakyat dan pendeposit kepada TH, terutamanya selepas PAS mentadbir institusi hal ehwal agama. Rekod menunjukkan lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan pendeposit TH kini mencapai 8.6 juta orang.

Siapakah yang bertanggungjawab mengembalikan kepercayaan rakyat kepada TH untuk menguruskan wang deposit mereka? Masih ingatkah kita bagaimana TH dibelenggu berbagai persepsi dan tuduhan oleh pimpinan PH sebelum ini? Sebelum mendapat mandat, TH dituduh oleh mereka sebagai institusi kewangan yang korup, penuh ketirisan dan penyelewengan dan ketirisan. Dek tuduhan mereka, rakyat yang terpedaya bertindak mengeluarkan wang deposit yang disimpan bertahun-tahun, semata-mata kerana tuduhan yang tidak dibuktikan.

Tidak cukup sekadar itu, selepas mendapat mandat pemerintahan, naratif sama sekali lagi diulang. Mereka ghairah mencari bukti untuk menyokong tuduhan mereka, hingga akhirnya merisikokan institusi kewangan milik umat Islam ini. Segala aset yang dikatakan sakit dijual, tanpa sebarang usaha untuk memulihkannya. TH dikatakan sakit dan tenat, tidak mampu memberikan pulangan hibah yang signifikan buat pendeposit. Akhirnya sekali lagi TH dibelenggu persepsi, sebagai institusi yang merugikan dam menjual aset umat Islam. Langsung tiada usaha dari mereka mengembalikan kepercayaan rakyat yang hilang akibat kegagalan mereka mengurus persepsi. 

Maka siapakah yang mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada TH? PAS lah yang bertanggungjawab mengembalikan semula kepercayaan ini. Usaha yang dilakukan oleh YB Senator Datuk Idris Ahmad dan YB Datuk Marzuk Shaary selaku Menteri dan Timbalan Menteri, serta mantan Menteri YB Senator Datuk Dr Zulkifli Al Bakri dalam memperbetulkan segala persepsi yang membelenggu TH, akhirnya membuahkan hasil. 

Segala pengurusan dan perjalanan urusniaga dipantau, malah aset-aset yang berpotensi dipulihkan, dikekalkan hak milik dan dibatalkan penjualan. TH terus melabur dalam pelaburan yang strategik, menghasilkan keuntungan yang besar untuk separuh pertama tahun ini. Ini semua berlaku atas kepercayaan rakyat yang kembali diperoleh, hasil usaha keras lebai-lebai menyelia institusi hal ehwal Islam termasuk TH. 

Bayangkan sekiranya PH masih menjaga institusi kewangan terbesar umat Islam ini. Dengan berbagai persepsi dan tuduhan yang mereka sendiri lemparkan, ditambah pula dengan kegagalan mengurus dan menjaganya, mampukah jumlah deposit meningkat setinggi ini? Bersyukurlah 22 bulan sahaja PH memerintah. Kini umat Islam yang merasai nikmatnya. 

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -