Piala Raja Thai: Impian Harimau Malaya tamatkan kemarau musnah

Foto daripada Facebook Football Association of Malaysia.

KUALA LUMPUR: Impian Harimau Malaya untuk menamatkan kemarau 44 tahun mendakap kejuaraan Piala Raja Thailand, musnah apabila tumpas 0-3 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti di Chiang Mai, malam tadi.

Setelah 90 minit aksi berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai itu berakhir tanpa jaringan, penjaga gol lawan, Rustam Yatimov muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua sepakan awal oleh pemain pertahanan, Dion Cools dan tonggak tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Percubaan terakhir skuad negara menerusi pemain sayap Muhammad Safawi Rasid pula, singgah di palang gol sebelum pemain gantian Rustam Soirov, melepaskan tendangan ke arah kanan pintu gol untuk menghadiahkan kejuaraan sulung mereka dalam kejohanan tersebut.

Advertisement

Terdahulu, perlawanan akhir edisi ke-48 itu menyaksikan ketua jurulatih negara Kim Pan Gon melakukan empat pertukaran pemain ketika mengatasi Thailand, 5-3, menerusi sepakan penalti, termasuk memanggil khidmat Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang menggantikan Muhamad Nor Azam Azih susulan kad merah diterimanya tempoh hari.

Walaupun pasukan bimbingan Petar Segrt menguasai bola di awal permainan, Malaysia, yang menduduki ranking ke-148 dunia, terlebih dahulu menguji gawang lawan namun sepakan jarak jauh oleh tonggak serangan Muhammad Akhyar Rashid, ditangkap kemas Yatimov pada minit ke-10.

Hujan lebat yang kemudiannya membasahi padang, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Harimau Malaya apabila mereka mula mendapat rentak permainan, untuk menyusun gerakan serangan ke kubu pasukan ranking ke-109 dunia itu.

Percubaan terbaik pasukan negara di separuh masa pertama hadir menerusi Brendan Gan, apabila pemain tengah kelahiran Malaysia-Australia itu hampir membuka tirai jaringan perlawanan, namun tandukannya pada minit ke-23, hasil daripada umpanan dari sebelah kanan oleh Nazmi Faiz, melewati palang gol Tajikistan.

Perlawanan terpaksa dihentikan kira-kira tiga minit menuju penghujung babak pertama, apabila Mohamadou Sumareh gagal mengawal emosi apabila didakwa melakukan tolakan dada dari belakang kepada Tabrez Islomov, sehingga menyaksikan pemain naturalisasi negara itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Sumareh terus bernasib baik kekal dalam permainan, apabila tindakan agresifnya yang melayangkan badan untuk menerjah Ehsoni Panshanbe pada masa kecederaan, tidak mempengaruhi pengadil untuk melayangkan kad kuning kedua, seterusnya memerintahkannya keluar padang.

Enggan mengambil risiko kehilangan Sumareh, Pan Gon kemudian menggantikannya dengan pemain sayap lincah Faisal Halim, pada awal babak kedua perlawanan.

Muhammad Safawi berpeluang meletakkan Malaysia di hadapan apabila sepakan lencong kaki kirinya diselamatkan Yatimov pada minit ke-57 sebelum giliran penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyekat Tajikistan, daripada memecah kebuntuan dengan menampan keluar rembatan padu jarak jauh Muhammadjon Rahimov pada minit ke-68.

Malaysia, yang dilihat hilang konsentrasi dalam 10 minit terakhir permainan, bernasib baik apabila jaringan Soirov pada minit ke-84 dibatalkan, selepas berada dalam kedudukan ‘offside’ dan kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sebelum Tajikistan menjulang kejuaraan edisi ke-48 itu menerusi sepakan penalti. – BERNAMA