Mengapa PAS isytiharkan PH musuh nombor wahid?

- Advertisement -

RAMAI juga yang bertanya kenapa PAS isytiharkan PH musuh utamanya sedangkan bukan PH yang memerintah? Kenapa bukan BN? 

Persoalan begini sebenarnya menunjukkan mereka tidak memahami perjuangan PAS. Perjuangan PAS bukan sekadar mendapatkan kuasa tetapi yang lebih utama ialah mengislahkan masyarakat dan negara. 

Bagi sebuah parti Islam seperti PAS, tentunya al-Quran dan Hadis menjadi panduan. Sirah menceritakan bahawa Rasulullah pernah ditawarkan menjadi ketua Makkah, menjadi orang yang paling kaya atau paling mulia. Syaratnya hanya satu… Tinggalkan atau lunakkan prinsip dakwah dan perjuangan yang dipegang.

Rasulullah menolak semua tawaran itu dengan penegasan bahawa andai bulan dan matahari yang menjadi cagaran pun akan ditolak. Ini menghairankan Musyrikin Makkah. Sebagaimana ‘peningnya’ Musyrikin Makkah terhadap perjuangan Rasulullah, begitulah ‘peningnya’ orang yang keliru mengenai prinsip perjuangan PAS.

Bukan baru PAS isytiharkan DAP sebagai musuh utamanya. Sebelum PRU14 lagi perkara ini telah dimasyhurkan di kalangan pendukung PAS. Agak pelik, kerajaan ketika itu BN, namun musuh utamanya tetap DAP walaupun DAP adalah bekas rakan taawun PAS dalam Pakatan Rakyat dulu. 

Jika PAS utamakan kuasa, tentunya BN adalah musuh utama. Namun PAS sangat kenal antara musuh dan musuh utama. Antara bahaya dan yang lebih bahaya. Antara mendapatkan kuasa dan menghalang kemusnahan utama. Itulah yang ramai tidak fahami mengenai PAS.

Ternyata rakyat akhirnya ‘merasai’ bencana besar dari kuasa yang diserahkan kepada PH yang didominasi DAP. Ternyata benar derita dan kezaliman BN selama lebih 50 tahun ketika itu tidak terbanding dengan kerakusan PH dominasi DAP selama 22 bulan.

Bukan hanya rakyat, malah pemimpin khasnya dari BERSATU yang bernaung di bawah PH tidak tahan dengan apa yang berlaku lantas meninggalkan PH.

Kini PAS sekali lagi menegaskan bahawa musuh utamanya adalah DAP dan PH. Bukan Umno. Malah PAS konsisten mengajak Umno bersama bagi menyelamatkan negara dan membetulkan kesilapan mereka yang lalu. 

Masihkah ada yang keliru mengapa PAS isytiharkan DAP-PH musuh utama? Dekati dan fahamilah perjuangan PAS. Jika kemaslahatan rakyat dan negara keutamaan anda, pasti PAS singgah di hati.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY26/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -