Tipu daya dalam talian

ERA digital kini membawa kita kepada satu gaya hidup baru yang lebih bermakna. Berbagai-bagai faedah yang dapat kita nikmati hasil daripada kecanggihan teknologi digital ini. Sistem perbankan, perniagaan, pembelajaran, pengendalian mesyuarat, penganjuran program, permainan, pengundian, pungutan suara dan banyak lagi dapat dilakukan secara dalam talian di samping dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga. Walau bagaimanapun, di sebalik kemudahan yang dinikmati ini, kita juga berdepan dengan tipu daya dalam talian.

Semakin hari semakin ramai yang tertipu dengan ‘scammer’. Hampir kesemua daripada kita pernah menerima panggilan-panggilan daripada ‘scammer’ ini dengan pelbagai bentuk dan cara penipuan. Antara cara penipuan yang kerap digunakan oleh ‘scammer’ ialah mengaku yang mereka kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak mahkamah, pegawai bank, pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banyak lagi. ‘Scammer’ ini sentiasa mengubah-ubah modus operandi mereka. Mengapakah ‘scammer’ seperti Macau Scam, Love Scam, skim cepat kaya, Parcel Scam, penipuan mencari pekerjaan dan skim pinjaman mudah lulus ini boleh menipu kita? Cuba kita renungkan perkara ini. 

Pertama, kita cepat percaya tanpa membuat usul periksa kesahihan maklumat tersebut seperti tawaran pinjaman mudah dengan faedah sifar atau skim cepat kaya yang menjanjikan melabur RM1,500 misalnya dan bakal menjadi seorang jutawan seumur hidup. Kedua, kita cepat panik. Apabila dikatakan kita ada membuat kesalahan jenayah seperti pengubahan wang haram atau tidak membayar cukai hasil pendapatan, maka kita cepat panik dan terburu-buru ingin membuat bayaran bagi menyelesaikan perkara tersebut. Ketiga, kita cepat terpengaruh dengan sesuatu perkara atau produk yang tular. Sebagai contoh apabila sesuatu produk itu telah tular, maka berduyun-duyun orang akan pergi ke kedai tersebut. Keempat, trend masa kini pula ialah mengupah tentera siber untuk mencapai sesuatu hasrat mereka. Meskipun sesuatu perkara itu tidak benar tetapi tentera siber dapat meyakinkan masyarakat bahawa perkara tersebut adalah benar.

Oleh itu, kita wajar berpegang kepada ingatan dalam ayat 6 Surah al-Hujurat yang membawa maksud:

Advertisement

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (berkenaannya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Dalam hal ini, sikap berhati-hati dengan menyelidik dahulu sebelum terburu-buru mengambil tindakan dapat membantu melindungi kita daripada tertipu oleh ‘scammer’.

DR. NOR AZARUDDIN HUSNI NURUDDIN 
Felow Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 26/9/2022