Desakan Mbappe paksa Perancis kaji perjanjian hak imej pemain

Kylian Mbappe tidak sokong beberapa jenama, termasuk syarikat pertaruhan
- Advertisement -

Keengganan penyerang, Kylian Mbappe, mengambil bahagian dalam aktiviti penaja menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) akan mengkaji semula perjanjian berhubung hak imej pemain.

Mbappe dilaporkan enggan mengambil bahagian dalam sesi bergambar pasukan dan aktiviti penaja yang dijadualkan pada hari ini kerana tidak mahu menyokong beberapa jenama, termasuk rangkaian makanan segera dan syarikat pertaruhan yang mengikat kontrak dengan pasukan kebangsaan.

- Advertisement -

“Saya telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam sesi bergambar selepas keengganan FFF untuk mengubah perjanjian hak imej dengan pemain,” kata Mbappe dalam satu kenyataan.

FFF pula dalam kenyataan melalui Twitter semalam, menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan eksekutif pasukan, presiden, jurulatih dan pengurus pemasaran.

“… Kami berjanji untuk mengkaji secepat mungkin, perjanjian hak imej dengan pemain tertentu. Kami tidak sabar-sabar untuk mengusahakan perjanjian baharu yang akan menjamin kepentingan FFF sambil mengambil kira kebimbangan yang pemain suarakan,” kata FFF.

Perancis akan menghadapi Austria dalam Liga Negara-Negara, Khamis ini dan kemudian menentang Denmark tiga hari kemudian. – REUTERS

- Advertisement -