Seret pencemar Sg Rambai ke muka pengadilan

- Advertisement -

PAS Negeri Sembilan memandang serius terhadap Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia baru-baru ini yang telah mengklasifikasikan Sg Rambai (Lembangan Sungai Sepang) yang terletak di daerah Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai sungai Kelas V iaitu ‘Sungai Paling Tercemar di Malaysia’. 

Keadaan ini merupakan sesuatu perkara yang amat memalukan negeri ini yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi, sungai dan pantai yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan laporan dan tinjauan di lapangan, keadaan Sungai Rambai ketika ini adalah sangat teruk dengan airnya telah berubah menjadi kehitaman, berbau busuk dan terdapat banyak sampah-sarap serta bangkai haiwan. 

Hasil tinjauan juga menunjukkan bahawa terdapat industri penternakan babi berdekatan yang menyalirkan secara terus air kumbahan dan sisa-sisa pemprosesan babi (seperti darah dan najis). 

Persoalannya sekarang, bagaimanakah aktiviti ini boleh dibiarkan terus berjalan bertahun-tahun lamanya tanpa tindakan yang serius daripada pihak berwajib? 

Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan pemantauan ke atas Sg Rambai sejak sekian lama dan mengenalpasti punca pencemaran adalah daripada aktiviti penternakan babi di sekitar lembangan sungai tersebut, namun tidak mampu mengambil tindakan yang tegas untuk menghentikan pencemaran yang berlaku.

Begitu juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengawal selia aktiviti penternakan babi dilihat gagal mengawal dan menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan.

Selain itu, di manakah fungsi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Port Dickson yang kononnya jaguh dalam membela kebajikan rakyat? 

Persoalannya, adakah terdapat campur tangan daripada pihak-pihak tertentu yang mengizinkan perkara ini terus berlaku demi survival politik mereka tanpa mempedulikan kesihatan rakyat dan keselamatan awam?

Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Negeri Sembilan mendesak tindakan segera diambil oleh agensi-agensi kerajaan untuk memulihkan semula Sg Rambai dan membawa pihak yang bertanggungjawab mencemarkan Sg Rambai ke muka pengadilan. 

Mereka yang didapati bersalah juga hendaklah diperintahkan untuk turun ke lapangan bagi kerja-kerja pembersihan dan membayar pampasan kepada penduduk sekitar yang terlibat. 

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri hendaklah berfungsi dengan berkesan dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

“Malaysia Sejahtera”


MOHAMAD NAZIR RAMLAN
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) 
PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -