SEMAKIN galak nampaknya pemimpin DAP melancarkan serangan terhadap PAS. Baru-baru ini ADUN DAP buat laporan SPRM berkenaan dakwaan kononnya PAS terima rasuah RM90 juta wang 1MDB.
Kelakar juga DAP ini, sudah ketinggalan kereta api agaknya. Dulu sewaktu PH berkuasa, mereka buat apa? Kerajaan PH gagal siasat dan jumpa bukti untuk mendakwa pemimpin PAS terima wang rasuah 1MDB?
DAP terlupa agaknya bahawa pada 24 Februari 2019, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri telah mengesahkan tiada kemasukan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta ke dalam akaun PAS.
Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, hasil siasatan yang dijalankan agensi itu tidak menjumpai apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut.
Jadi, atas sebab apa DAP mahu memainkan semula cereka fitnah lama ini? Setiap kali nak PRU, modal cereka PAS dapat wang rasuah 1MDB akan dicanang oleh Pakatan Harapan khususnya DAP dan anak didik kesayangannya PAN.
Adakah Lim Guan Eng terlupa yang dia sendiri sedang dibicarakan atas pertuduhan kes terima dan meminta rasuah?
DAP jangan ingat kami rakyat awam tidak membaca berita pendedahan saksi dalam perbicaraan kes tersebut yang menyatakan Lim Guan Eng tersenyum dan gembira apabila menerima dua sampul masing-masing mengandungi wang tunai RM100,000, bertujuan rasuah daripada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Pemimpin ulung DAP kesayangan PAN ini sedang berdepan dengan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan.
Dia juga didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.
Jadi, sebaiknya pemimpin DAP dan juak-juaknya cermin diri dahulu kalau hendak bercakap hal rasuah nanti jadi bak kata pepatah, ‘bagai ayam ditombong kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi’.
Bagai langit dengan bumi hendak dibanding kehidupan gaya hidup mewah pemimpin DAP dengan Tuan Guru Presiden PAS.
Esok kita akan jawab pula berkenaan dakwaan Lim Guan Eng bahawa 3 Menteri PAS antara Menteri yang paling tidak cekap.
SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 14/9/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!