YB Sik lega Belanjawan 2021 cakna nelayan, pesawah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Komitmen PAS mengangkat permasalahan nelayan air tawar ke perhatian dan tindakan pihak berwajib dengan menyuarakan isu golongan tersebut ke Parlimen akhirnya membuahkan hasil.

Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abd Aziz mengumumkan kenaikan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300 untuk lebih 40,000 nelayan dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

“Seperti dibangkitkan oleh YB Sik (Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman), kenaikan tersebut wajar dipanjangkan kepada nelayan darat. Dengan itu kerajaan juga mencadangkan kenaikan kadar elaun sara hidup nelayan darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat berdaftar,” ujarnya.

Ustaz Tarmizi dalam reaksinya menyifatkan pengumuman tersebut menunjukkan perhatian serius pihak Kerajaan Perikatan Nasional yang tentunya akan memberi manfaat kepada golongan nelayan termasuk nelayan darat di seluruh negara.

Beliau sebelum ini pernah menyuarakan pembelaan terhadap nasib nelayan perikanan laut yang tidak mendapat perhatian sewajarnya, manakala para nelayan air tawar pula seakan langsung diabaikan.

Lebih mengharukan katanya, nelayan di negara ini antara kelompok termiskin yang sama sekali berbeza dengan golongan sama di negara lain di mana hingga ada hidup kaya raya atas hasil perikanan.

HarakahDaily pernah menyertai beliau menyantuni warga nelayan darat pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan di Pengkalan Gubir, Ulu Muda, Kedah pada pertengahan Februari lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut menzahirkan rasa sukacita atas perhatian Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee.

Menteri itu dalam jawapannya pada sidang sama telah memberi penyelesaian terhadap masalah pengedaran benih padi sah serta jaminan terhadap isu tersebut yang dipanjangkan Tarmizi dengan beberapa cadangan.

“Saya membentangkan laporan kemajuan dan perancangan MADA. Memohon dana tambahan hal berkaitan bajet pembangunan dan mengurus MADA untuk baki tahun 2020 dan peruntukan tahun 2021.

“Saya juga membentangkan projek pertanian padi organik dan padi huma serta pengembangan pembinaan Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu (INSPEK) di Sri Lovely Kampung Lintang, Sik,” ujarnya.

Beliau memaklumkan pembentangan itu dibuatnya kepada Dato’ Seri Dr Ronald selepas Belanjawan 2021 diluluskan dalam pertemuan mereka di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini Khamis lalu. – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -