Penduduk Dun Temangan terkesan PKPB dibantu

Mewakili Dato Dr Mohamed Fadzli Dato Haji Hassan ( ADUN TEMANGAN ) , Penghulu Mukim Temangan Lama, Syed Ahmad Kamil Syed Yesop menyantuni prnduduk di dalam mukim beliau yang layak menerima bantuan khususnya melalui Program Bantuan Kebajikan Keluarga Terkesan akibat PKPB berikutan penularan wabak Covid-19.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Temangan menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausahanya, Kapten (B) Mohd Shamsuddin Yusoff, berkata Dun Temangan merupakan salah satu kawasan dalam Parlimen Machang yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 di Kelantan.

- Advertisement -

Ujar Mohd Shamsuddin, penduduk di kampung Mengketil dan kampung Pangkal Meleret kini mendapat perhatian menerusi Program Bantuan Kebajikan Keluarga Terkesan akibat PKPB.

“Antara kawasan paling teruk terjejas ialah di kampung Mengketil dan Pangkal Meleret, selain itu tiada masalah dan terkawal dengan pelaksanaan SOP.

“Bagi penduduk terbabit yang terkesan dengan pelaksanaan PKPB, penghulu bagi setiap mukim akan mengenalpasti individu terlibat untuk diberikan bantuan,” katanya.

Di bawah program tersebut katanya, pihak Majlis Tindakan Dun sudah membuat edaran bantuan kira-kira 200 pek makanan sejak PKPB dilaksanakan seminggu lalu.

Ia mengandungi 10 kilogram beras, minyak dan gula yang diagihkan melalui penghulu masing-masing bagi mewakili wakil rakyat, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

“Kita berikan kira-kira purata 10 bungkusan kepada penghulu mukim untuk diagihkan kepada anak mukim yang dikenalpasti yang terjejas dengan pelaksanaan PKPB ini.

“Sehingga kini kita sudah mengagihkan edaran bungkusan makanan berjumlah kira-kira 200 lebih kepada penduduk sejak PKPB dilaksanakan khususnya dun Temangan,” katanya.

Kluster Mengketil merupakan jangkitan dikenal pasti merebak ke Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas berikutan pergerakan penduduk merentas daerah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jangkitan berlaku dengan cepat dalam kalangan ahli keluarga jika salah seorang ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

Kelantan diletak di bawah PKPB bermula 21 November sehingga 6 Disember depan bagi memutuskan rantai wabak Covid-19 daripada terus menular. – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -