1,100 hektar sawah dilapor tenggelam, terjejas banjir

Razali (baju putih bertopi) mendengar keluhan para pesawah
- Advertisement -

ARAU: Sebanyak 1,100 hektar kawasan sawah padi luar kawalan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan tenggelam akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini bagi musim 2/2024.

- Advertisement -

Antara kawasan yang terkesan adalah Kampung Behor Mempelam, Kampung Banat, Kampung Sungai Bakong dan Kampung Alor Redis.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad turun padang meninjau keadaan serta mendengar sendiri keluhan para petani yang kehilangan hasil tanaman akibat musibah tersebut, semalam.

Dalam laporan terkini pada 28 November lepas, beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mencatatkan kerosakan besar akibat banjir, dengan keluasan sawah tenggelam paling tinggi dicatatkan di kawasan PPK Mata Ayer.

Razali berkata, kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat terperinci bagi menilai kerosakan dan keperluan bantuan segera kepada para petani.

“Langkah-langkah pemulihan akan dilaksanakan secepat mungkin untuk memastikan sektor pertanian di kawasan terlibat dapat beroperasi semula,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tiada petani yang terjejas terabai dalam menghadapi cabaran ini, memandangkan sektor pertanian merupakan tonggak penting kepada bekalan makanan dan ekonomi negeri.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024