Hubungan PAS-Umno di Perlis berjalan baik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS tidak akan berhenti mengajak parti politik berteras Melayu/Islam dan bukan Bumiputera bersama bagi melahirkan Malaysia Sejahtera seperti diimpikan rakyat di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata penyatuan antara parti Melayu adalah rumusan terbaik untuk mentadbir negara.

- Advertisement -

Katanya kerjasama semua parti Melayu-Islam diperlukan demi mencapai perpaduan ummah serta menuju Malaysia yang sejahtera.

“Perintah untuk menyatukan ummah bukan idea PAS sahaja, tetapi ia berdasarkan perintah Allah.

“PAS dan Perikatan Nasional (PN) turut berusaha untuk melahirkan kerajaan yang ada integriti, mengurang ketirisan dan mengekang rasuah,” katanya di sini.

Beliau yang juga Adun Sanglang berkata, kerjasama PN di Perlis berjalan lancar antaranya menganjurkan program kebajikan dan anak-anak muda termasuk serahan bakul makanan, pertandingan bola jaring dan bola sepak.

Menurutnya program itu diadakan baru-baru ini sempena Himpunan Anak Muda Perlis (HAMAS 5.0).

“Di peringkat cawangan pula kita mengadakan mesyuarat bagi merancang program yang sesuai untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Begitu juga katanya, hubungan dengan Umno masih berjalan baik biarpun hubungan PAS dan Umno di peringkat pusat agak dingin.

“Selagi belum mendapat keputusan di peringkat pusat, kita tetap meneruskan muafakat dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -