Ribuan berarak protes acara perarakan LGBTQ+ di Belgrade

Beribu-ribu golongan anti perarakan LGBTQ+, EuroPride menyertai perarakan tunjuk perasaan di Belgrade, Serbia pada 11 September 2022. (FOTO: EURACTIV.com)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

BELGRADE, Serbia: Beribu-ribu aktivis agama berarak di ibu negara Serbia menggesa pihak berkuasa melarang acara perarakan lesbian, gay, biseksual, transgender, pelik (LGBTQ+) yang dirancang bakal diadakan di negara itu menjelang minggu ini.

Kumpulan penunjuk perasaan yang berarak pada Ahad (waktu tempatan) membawa bendera Serbia bersaiz mega itu termasuk beberapa kumpulan yang turut melaungkan slogan menyokong sekutu Serbia, Rusia, lapor US News.

- Advertisement -

Sekumpulan penunggang motosikal yang menyokong dasar Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menghidupkan enjin kenderaan mereka itu sebagai menyokong orang ramai yang berarak ke katedral St. Sava di Belgrade 

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, berkata terdapat ancaman terhadap perarakan LGBTQ+ dikenali sebagai EuroPride, dan terpulang kepada polis sama ada ia perlu dihentikan atau tidak.

Kerajaan Serbia telah melarang perarakan LGBTQ+ pada masa lalu, dan beberapa acara yang berlangsung pada awal 2000an telah dicemari oleh keganasan.

Kumpulan yang memprotes perarakan LGBTQ+, Europride daripada diadakan di Belgrade, Serbia yang menyertai perarakan tunjuk perasaan pada 15 Ogos 2022. (FOTO: Balkan Insight)

Sementara, ABC News melaporkan Ketua Gereja Ortodoks Serbia, Patriarch Porfirije yang berkuasa menyokong larangan ke atas acara pengamal LGBTQ+ pan-Eropah di Belgrade mengatakan bahawa perarakan Europride yang dijadualkan kembali berlangsung di negara itu bakal menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat negara itu kerana ia bertentangan dengan nilai tradisional masyarakat di situ sejak berabad-abad lamanya.

Kenyataan video khas Porfirije bersiaran di tengah-tengah perdebatan hangat di Serbia dan kritikan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung pengumuman pihak berkuasa Serbia pada 27 Ogos lalu, menurut laporan The Observer bahawa acara EuroPride dari 12 hingga 18 September ini dibatalkan kerana ancaman keganasan daripada puak pelampau sayap kanan negara itu.

Kumpulan anti perarakan LGBTQ+ Serbia berhadapan dengan pihak polis ketika membuat perarakan tunjuk perasaan di Belgrade pada 10 Oktober 2010. (FOTO: CNN)

Pertubuhan LGBTQ+, European Pride Organisers Association (EOPA) memilih ibu negara Serbia tiga tahun lalu itu untuk menganjurkan acara perarakan gay tahunan itu, dan ia dilihat sebagai satu kejayaan besar golongan tersebut bagi negara Slavic yang secara tradisinya konservatif dan di bawah pengaruh kuat dari gereja ortodoks.

Serbia telah berjanji untuk meningkatkan hak LGBTQ+ di negara itu atas alasan agar diterima sebagai ahli dalam Kesatuan Eropah (EU).

Walaupun perarakan gay yang telah diadakan di negara itu sebelum ini adalah di bawah kawalan keselamatan yang ketat sejak beberapa tahun lalu, namun perancangan untuk acara berkenaan pada tahun ini mencetuskan bantahan besar-besaran oleh kumpulan kanan pro-Rusia yang semakin lantang.

Kumpulan pembangkang dan aktivis hak asasi berkata membatalkan perarakan gay berkenaan atas ancaman pelampau puak kanan Serbia adalah satu tamparan kepada demokrasi, namun disangkal oleh Porfirije yang menegaskan sekatan dan larangan terhadap acara pengamal LGBTQ+ itu itu adalah sesuatu yang amat ‘perlu dan wajar’.

Sejarah pertentangan antara golongan LGBTQ+ dan anti LGBTQ+ di Serbia sudah lama berlangsung, khususnya apabila keganasan tercetus susulan tunjuk perasaan puak anti LGBTQ+ di tengah Belgrade pada 10 Oktober 2010. – HARAKAHDAILY 13/9/2022

- Advertisement -