Jumlah undi PAS di PRN Melaka, Johor meningkat

- Advertisement -

Oleh ASLANI M & SYAHIRAH SALLEH | Foto ZHARIF ZULKIFLEE

ALOR SETAR: Ketika perwakilan muktamar PAS mendesak supaya logo Bulan Purnama dikekalkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, namun kajian mendapati penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) memberi kesan positif.

Situasi itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, biarpun bilangan kerusi dimenangi PN tidak memberangsang, namun jumlah undi meningkat ketara.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasar data didapati PAS mendapat lonjakan agak besar pada PRN terbabit.

- Advertisement -

“Ada 100 peratus, ada naik sampai 200 peratus di Melaka, begitu juga di Johor.

“Ini bermakna majoriti rakyat Melaka menolak BN, tetapi oleh kerana strategi kedudukan kerusi dan strategi pengundi fokus, akhirnya Umno menang dan mendapat majoriti dua pertiga,” katanya pada temubual bersama Harakah sempena muktamar semalam.

Pada PRN Johor pada Mac lepas BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dun yang dipertandingkan. Manakala Pakatan Harapan (PH) menang 13 kerusi dan PN (3).

BN juga kembali menguasai Melaka apabila menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka November tahun lepas.

PH pula menang di lima kerusi melalui DAP (4 kerusi) dan Amanah (1).

PKR tewas di kesemua 11 kerusi. PN pula menang dua kerusi melalui Bersatu.

Tuan Ibrahim berkata, sekiranya dicampur jumlah undi yang diperolehi PN dan PH, jumlahnya mengatasi undi diperolehi BN.

“Situasi itu menggambarkan majoriti pengundi Melaka dan Johor, menolak BN. Malah melalui PN jumlah undi diraih PAS lebih tinggi.

“Tetapi yang agak ketara hilang undi ialah PH, DAP pun merosot dan PKR hilang banyak kerusi. Kita lihat jumlah undi Bersatu juga merosot, tetapi PAS meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2022

Ikuti temubual eksklusif dalam akhbar Harakah Edisi Jumaat di pasaran sekarang.

- Advertisement -