Banyakkan insentif bantu kehidupan anak muda B40

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda PAS perlu mengusahakan insentif perumahan murah untuk golongan anak muda B40 menerusi kaedah sewa beli yang membantu mereka memiliki kediaman sendiri. 

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Shahril Zainuddin menyatakan demikian dalam perbahasan ucaptama Ketua Pemuda PAS di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini sebentar tadi. 

Menurutnya, permintaan tinggi yang menyebabkan kenaikan harga rumah kediaman dan pinjaman bank dilihat satu perlumbaan perlu diatasi dan menuntut cadangan penyelesaian sewajarnya. 

Beliau mengemukakan syor untuk kerajaan membina lebih banyak kediaman rumah mampu milik bagi golongan tersebut, selain mempermudahkan pinjaman bagi tujuan itu. 

“Banyakkan juga rumah awam yang dimiliki oleh kerajaan kemudian disewakan kepada anak muda ini khususnya di bawah B40, disewakan. Selepas 3 tahun, duit ini kita bagikan semula kepada penyewa untuk mereka membeli rumah,” cadangnya. 

Perwakilan Pemuda PAS Sarawak, Ashrol Isham Taip pula berharap Pemuda PAS dapat membawa usaha kepada pihak kerajaan agar membanyakkan inisiatif bantuan kepada anak muda dalam membina kerjaya mereka. 

Antaranya ujar beliau, dalam pinjaman berkaitan tanah pertanian, penghantar makanan dan lain-lain termasuk menangani risiko dalam memberi perlindungan ke atas golongan tersebut. 

Beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Kabinet Untuk Sekuriti Makanan akan menggalakkan lagi penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian dan industri pertanian. 

Jelasnya, usaha dilakukan telah meninggikan lagi penglibatan anak muda di sektor tersebut yang disifatkannya semakin penting dalam situasi global terhadap isu itu. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!