RUU355: PAS tidak pernah lupa!

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS di dalam kerajaan mempergiat usaha menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa tersebut. 

“Mengenai isu RUU355, PAS tidak pernah lupa! Kita juga di dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil. 

“Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi Hakim Syarie, Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama.

“(Juga) penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang Syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang Syariah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan perkara tersebut dalam Ucaptama Ketua Pemuda PAS di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf Mahkamah Syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022. 

“PAS bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara. Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh PAS. 

“Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan PAS di dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan PAS dan ahlinya,” ujar beliau.

Jelas beliau, kewibawaan, kemampuan urus tadbir cemerlang dan integriti tinggi ditunjukkan di negeri-negeri ditadbir serta di kementerian-kementerian diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ sangat positif kepada rakyat Malaysia. 

“Kita telah membuktikan walau hanya separuh penggal PAS di dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan. Alhamdulillah. PAS mampu memimpin!” bangganya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -