Kebebasan mahkamah terlalu mustahak dipertahan

Ahmad Fauzi Abdul Hamid
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Kenyataan Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia), Dato’ Sri Azalina Othman Said bahawa Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob patut memilih  ‘orang mereka’ untuk dilantik Peguam Negara, merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa secara halus.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kepentingan negara seperti mahu digadai untuk melepaskan individu-individu tertentu atas kepentingan politik.

- Advertisement -

Menurut beliau, Umno terlalu sangat inginkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) supaya dengan  kuasa yang ada (jika menang), parti itu boleh melantik Peguam Negara yang mereka suka dan dianggap ada peluang menarik balik tuduhan terhadap bekas pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah.

“Umno masih kekal dengan mentaliti lama tetapi kalau dilihat keputusan kes Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini terbukti ada pemimpin parti itu terbabit rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada HarakahDaily

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Fauzi berkata dari segi konvensyennya, perkara yang dikatakan Azalina tiada salahnya. Peguam Negara yang dilantik bertindak di bawah arahan kerajaan yang terbentuk melalui proses demokrasi.

Namun katanya lagi, masalahnya ialah di Malaysia Peguam Negara bertindak sekaligus sebagai Pendakwa Raya Awam (Public Prosecutor), maka beliau ada kuasa menarik balik pendakwaan yang sudah dimulakan terhadap pihak dianggap dekat dengan pemimpin negara. 

Tambah Ahmad Fauzi, kebebasan mahkamah terlalu mustahak untuk dipertahankan kerana ia merupakan benteng terakhir untuk mencapai keadilan, yang memisahkan cabang eksekutif dan perundangan.

“Penguasa-penguasa negara mesti bersedia menerima keputusan kehakiman yang tidak memihak kepada mereka atau kroni-kroni  dan saudara-mara mereka, barulah keadilan hakiki yang tidak mengenal perbezaan darjat, warna kulit dan etnik dapat dicapai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2022.

- Advertisement -