Kerajaan tidak kompromi individu, kumpulan hina agama

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa berganding bahu dengan ‘influencer’ berkaitan ilmu agama Islam.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, ia bagi memberi kefahaman dalam ilmu agama yang betul.

Dengan usaha itu kata beliau, pihaknya akan memastikan tiada lagi orang Islam sendiri yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada agama.

- Advertisement -

“Kita melalui agensi Jakim, sentiasa mengadakan pertemuan dengan influencer yang menjadi rujukan masyarakat dalam ilmu agama di media sosial ini.

“Kita ada kerjasama dengan mereka bukan sahaja perbincangan biasa, bahkan kita merancang untuk melaksanakan kandungan yang membawa kesedaran,” katanya.

Beliau berkata selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dan penyampaian van serba guna kepada Masjid al Rahman Mukim Repek, di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Yayasan Taqwa, Dato’ Razali Shahabudin dan Pengarah Tabung Haji Kelantan, Ashrof Shamsuddin.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu menjelaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap individu atau kumpulan membuat penghinaan agama.

Beliau berkata, tindakan akan dikenakan selaras dengan peruntukan undang-undang untuk memastikan tindakan terbabit tidak berulang lagi pada masa depan.

Menurutnya, penggunaan media sosial bagi menyebarkan kebaikan, maklumat tepat serta kefahaman agama Islam yang benar sangat dialu-alukan.

“Pihak membangkitkan sama ada di media sosial, ucapan, perkataan dan perbuatan yang menghina agama, setakat ini tidak terlepas dari tindakan kerajaan.

“Tetapi yang paling penting sebar perkara agama yang baik dan sahih untuk pastikan bukan sahaja mendapat manfaat meterialistik tetapi pahala,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2022

- Advertisement -