Dua ekor lembu untuk jamuan Muktamar DMPM

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Dewan Muslimat PAS Kedah akan ‘menumbangkan’ dua ekor lembu untuk jamuan tengah hari kepada seluruh perwakilan dan pemerhati Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia pada 2 September ini.

Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, menu makan tengah hari itu akan dimasak secara gotong royong oleh penduduk berdekatan lokasi muktamar.

“Adat orang Kedah ini suka menjamu tetamu. Perwakilan dan pemerhati dari seluruh Malaysia ini ibarat tetamu kami kerana kali ini Kedah menjadi tuan rumah kepada Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke 62,” jelasnya di sini.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, amalan sebegitu juga sebagai mencontohi Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang menyediakan makanan sepanjang muktamar berlangsung ketika Kedah menjadi tuan rumah pada 2006 dahulu.

Dalam masa yang sama, ujar Ashah untuk sarapan pagi, pihaknya menyediakan makanan yang sinonim dengan penduduk negeri ini iaitu nasi lemak dan pulut ‘nyoq’ ikan kering.

Muktamar DMPM kali ke-62 akan diadakan di Dewan Al-Hana, Sik.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa DMPM diberi tugasan sebagai pengerusi unit persiapan tempat berharap semua hadirin berpuas hati dengan prasarana yang disediakan.

“Setakat ini persiapan dan kelengkapan tempat muktamar hampir selesai cuma beberapa perkara sahaja akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Justeru, Adun Merbau Pulas itu berharap, kehadiran tetamu dari seluruh negara ke negeri Jelapang Padi ini akan membawa pulang kenangan manis. – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -