Marathon panjang cari keadilan isu SRC

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

KETIKA
anak-anak girang mengibar Jalur Gemilang menjelang Hari Kebangsaan tiba-tiba berita hiba menyentap jiwa seketika. Luruh segala jiwa luhur bagi pengkagum Bossku.

Mereka panik kerana tidak menjangka bekas perdana menteri dihukum sedemikian rupa. Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Kalau orang kampung hendak gali di lubuk mana duit sebanyak itu.

Bagi mereka juga seolah-olah Bossku tiada jasa ketika menerajui pentadbiran negara. Bossku berada di kedudukan tertinggi eksekutif negara selepas Abdullah Ahmad Badawi berundur awal.

Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 3 April 2009. Biarpun pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 BN masih menguasai pentadbiran negara, namun pengaruhnya susut banyak.

- Advertisement -

Selepas menguasai pentadbiran pada pilihan raya Persekutuan 1955 pengaruh Perikatan (BN) tidak pernah pudar. Siri pilihan raya mana sekali pun BN begitu sukar digugat kecuali di Kelantan.

Namun, PRU 2008 menyaksikan Umno dan BN hilang penguasaan majoriti dua pertiga. Ia berlaku di era penguasaan Pak Lah. Maka menyedari kegagalan itu Pak Lah mengambil tanggungjawab. Beliau berundur dalam keadaan terhormat.

Desakan peralihan kuasa dalaman Umno tambah mempercepatkan lagi proses tersebut. Akhirnya Najib berjaya berada di kemuncak kuasa. Strategi pertamanya bermula pada 2009 menguar-uarkan slogan 1Malaysia.

Kehadiran 1Malaysia langsung menenggelamkan slogan Islam Hadhari. Bagaimanapun bagi mengelakkan roh Islamik terpisah jauh muncul pula perkataan wasatiyyah.

Wasatiyyah dimaksudkan kesederhanaan, jalan tengah, tidak ekstrem dan berimbang. Bagi mencengkam pengaruh itu Najib menubuh Institut Wasatiyyah. Selain itu Global Movement for Moderation sebagai penggerak wasatiyyah.

Mungkinkah kerana pengaruh wasatiyyah menyebabkan ada pentaksub menganggap Bossku tidak tidak mendapat keadilan. Mungkin mereka juga lupa.

2020 Bossku bersalah

Pada 28 Julai 2020 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Bossku bersalah. Wujud penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Ketika itu Bossku berdepan tujuh pertuduhan.

Tuduhan pecah Amanah terhadap wang berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta. Selain itu penggubahan wang haram dan salah guna kuasa untuk suapan diri bernilai RM42 juta.

Ini bermakna dua tahun lepas Bossku telah didapati bersalah. Ia juga diketahui umum. Dan apa yang berlaku Selasa lepas mengulangi keputusan Mahkamah Tinggi 28 Julai 2020.

Sekarang Mahkamah Persekutuan mengesahkan apa yang sudah diputuskan Mahkamah Tinggi. Salah tetap salah. Bagaimanapun ketika isu SRC International berpenghujung rupa-rupanya masih ada empat lagi kes melibatkan Bossku.

Najib masih berdepan empat lagi kes di Mahkamah Tinggi dengan dua daripadanya dalam proses perbicaraan.

Kes itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB.

Selain itu dua kes yang belum dibicarakan iaitu pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Prof Wong Chin Huat menyifatkan Korea Selatan sebagai pemegang rekod dunia, di mana empat bekas presiden turut meringkuk di penjara kerana rasuah.

Mereka iaitu Chun Doo-hwan, Roh Tae-woo, Lee Myung-bak dan Park Guen-hye. Mereka juga bergelar banduan kerana rasuah dan pengkhianatan. Empat presiden Korea Selatan juga daripada parti yang menguasai kerajaan.

Ada perancangan?

Biarpun pelbagai data dan rekod dicatat di mahkamah, namun masih ada pentaksub Bossku menganggap sebaliknya. Kata mereka seolah-olah ada perancangan.

Sedangkan kes SRC mencatat rekod perbicaraan yang panjang iaitu 86 hari kerana melibatkan jumlah saksi dan dokumen yang banyak.

Malah ada pihak mengandaikan kekhilafan berlaku pada pasukan pembelaan. Tindakan peguam Najib memilih tidak mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir turut menjadi penyumbang.

Peluang diberi kepada peguam Hisyam Teh, namun peguam terbabit bertegas tidak mahu berhujah secara lisan dan bertulis. Kata pemerhati perundangan nasib Najib betul-betul diperjudikan pasukan peguamnya. Jadi hendak salahkan siapa lagi.

Ternyata isu SRC International begitu lama. Ia sebahagian daripada lingkaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Sedangkan banyak kajian menyebut 1MDB antara punca rakyat menolak BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dan sekarang muncul lagi skandal kewangan. Jumlahnya lebih besar.
Menurut laporan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 26 Mei 2011 Ahmad Zahid melulus permohonan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membina enam kapal LCS berdasarkan reka bentuk ‘Sigma’.

Bagaimanapun dalam tempoh kurang dua bulan Menteri Pertahanan – mengubah reka bentuk menggunakan kelas Gowind yang dimiliki Tentera Laut Perancis.

Perubahan itu disebut dibantah pegawai tertinggi TLDM. LCS tentunya akan menjadi umpan besar menghadapi PRU15. Skalanya lebih besar berbanding 1MDB.

Konflik yang berlaku itu menjelaskan dua kelompok dalam Umno sedang bertarung. Satu kumpulan bermati-matian menggambarkan Bossku dianiaya.

Manakala satu kumpulan lagi mempertahankan integriti sistem kehakiman. Suara ini lebih dekat dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub.

Maka pilihan akhir yang ada, kumpulan integriti Umno perlu bantuan rakan-rakan lain. Ini masanya Ismail dan pasukannya membaiki semula Muafakat Ummah yang dirosakkan kluster mahkamah, sebelum Umno pecah lagi. – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -