Agenda penyatuan: PAS tidak memilih kelompok

Utusan Malaysia diharap murnikan semula laporannya

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa usaha perpaduan ummah tidak harus memilih dan terhad kepada kelompok tertentu sahaja.

Beliau berharap Utusan Malaysia siaran 13 Ogos kelmarin dahulu dapat membetulkan terbitan mereka yang melaporkan secara mengelirukan terhadap ulasan beliau mengenai perkara tersebut.

Dalam laporan bertajuk ‘PAS tidak salah catur langkah dengan PN’ di perenggan pertama menyatakan “berteraskan kepada ketetapan harus memilih satu-satu kelompok tertentu sahaja” yang bukan dari maksud asal.

“Ini tidak benar dan bukan apa yang saya sebut. Saya telah mendapatkan audio apa yang telah saya sebut dalam jawapan kepada soalan wartawan berkenaan yang saya sertakan dengan transkrip setiap perkataan yang saya sebutkan.

“Anehnya Utusan juga memetik yang saya mengajak semua bersatu, tak boleh hadkan berkawan dengan Umno sahaja. Itupun jelas bertentangan maksud,” ujarnya mahu laporan itu dimurnikan kembali.

Mengulangi kembali ulasannya itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sekali lagi menegaskan, usaha menggabungkan ummah sama sekali bukan untuk dihitung sebagai satu kesilapan.

Jelas beliau, PAS dengan istiqamah kepada usaha tersebut dengan makna tetap dengan pendirian bahawa dalam soal menyatukan orang Melayu-Islam, tidak harus bersikap memilih-milih dalam berkawan.

“Tak ada istilah hanya nak bersatu dengan kelompok ini saja, tidak. Maknanya PAS tidak ada kecenderungan memilih dan menghadkan kawan satu-satu kelompok tertentu sahaja. Dalam hal penyatuan ini, PAS inklusif, bukan eksklusif. Mana-mana orang Melayu, orang Islam perlu disatukan. 

“Apabila kita dapat satukan orang Melayu, orang Islam yang merupakan majoriti besar di dalam Malaysia. Baru teras kepada mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu itu dapat dilaksanakan. 

“Tapi kalau peratus ini sikit saja, macam mana kita mahu mewujudkan kerajaan yang betul-betul kuat?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Menurut beliau, tunjang kepada kekuatan adalah penyatuan rakyat dan kerana itu PAS tetap berpegang bahawa dalam soal untuk menyatupadukan rakyat ini ianya tidak boleh terhad antara PAS dengan Umno sahaja.

“Kita kena ajak mana-mana yang ikhlas dari segi mahu bersatu ini dan termasuk juga bukan Islam yang tidak mempunyai pendirian yang ekstrem. Itu yang kita selalu selalu apa ni pegang. Makna kalau bawa aliran ekstrem, tak sesuailah. 

“Jadi ramai yang tidak ekstrem, ramai kawan-kawan kita daripada kalangan bukan-Melayu yang mempunyai hubungan baik yang menghormati soal kedudukan agama Islam, soal keistimewaan orang Melayu, (masih) ramai yang menghormati. 

“Jadi yang macam ni kita kena duduk sekali, kita bersatulah, buat apa nak, nak apa, ‘limit-limit’ orang ni tak boleh. Orang ini boleh jadi kawan kita, orang ni tak boleh jadi kawan kita, tak boleh (begitu). 

“Baik kita berkawan dengan semua, Islam mengajar kita supaya ramaikan kawan. Saya rasa itu cara yang betul,” ulangi beliau kepada penyataan asal tersebut.

Orang Melayu dahagakan penyatuan

Menjelaskan lanjut beliau berkata, ulasan tersebut sebagai menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali bahawa PAS silap memilih kawan iaitu BERSATU dan sepatutnya bersama Umno.

PAS tegas beliau, berpendirian sebaliknya iaitu perlu satukan semua orang Melayu-Islam di mana tidak boleh terhad semata-mata PAS dengan Umno sahaja, kerana orang Melayu juga berkehendakkan kepada penyatuan. 

“Itu kita pergi ke akar umbi mana-mana pun semua bercakap, pasal apa kita nak bersatu, tiba-tiba pasal apa PAS dengan Umno tak boleh bersatu. PAS memang sentiasa daripada dulu sampai hari ini pun kita masih kata kita nak bersatu. 

“Kita nak menyatukan semua mana-mana yang tidak ekstrem boleh bersama dengan kita. Ada yang kata pasal apa tak ajak parti-parti lain? saya kata marilah tak ada masalah. Even PAN sekalipun kalau PAN bersetuju untuk bersatu.

“Berjuang bersama-sama kita dan tinggalkan DAP, tak ada masalah, bersama kita. Ada saya tengok orang-orang Umno kata apa ni pasal apa tak ajak PAN? Kita ajak. Tiap-tiap hari saya ajak. Cuma saya beritahu kena tinggallah DAP.

“Sebab DAP, macam saya sebut, kita tak boleh bersama dengan kelompok yang ekstrem. Rakyat Malaysia ini ramai. Jadi kalau kita nak satukan semua tak boleh Umno dan PAS saja, kena semua yang sanggup bersama dengan kita,” ujarnya menegaskan perpaduan bersama termasuk juga dari Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

Advertisement