Kaji semula cukai keluar negara

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula cukai yang dikenakan terhadap rakyat yang hendak keluar negara bagi tujuan bukan pelancongan seperti untuk beribadah, kesihatan dan melanjutkan pelajaran.

Senator Balasubramaniam A/L Nachiappan berkata, kerajaan mesti bertindak adil kepada rakyat dalam perkara ini walaupun cukai yang diambil akan dikembalikan semula kepada rakyat.

- Advertisement -

“Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus negara serta untuk perbelanjaan pembangunan.

“Saya ingin mengambil pengajaran melalui Firman Allah SWT dalam al-Quran, Surah An-Nisa ayat 58 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah perintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum di antara manusia, bahawa kamu menjatuhkan hukum dengan adil,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Balasubramaniam yang menyokong pindaan ini berkata, RUU itu membolehkan Menteri Kewangan mengambil tindakan wajar jika berlaku krisis kesihatan seperti ketika negara menghadapi pandemik Covid-19, sekali gus memastikan ekonomi rakyat dapat dijana dan dipertingkatkan.

“RUU ini yang mengandungi dua fasal memasukkan dua peruntukan baharu bagi menambah baik levi pelepasan melalui fasilitasi tertentu yang diberikan kepada pembayar cukai, terutama ketika berlaku kecemasan awam seperti bencana alam,” katanya.

Beliau berkata, melalui peruntukan baharu ini, jika berlaku kecemasan atau krisis kesihatan awam pada masa akan datang, Menteri Kewangan boleh melanjutkan tempoh penghantaran penyata dan bayaran levi melebihi 30 hari.

Katanya, negara pernah melalui pengalaman ngeri apabila sebahagian rakyat kehilangan pekerjaan, pejabat dan kilang terpaksa ditutup serta industri terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HARAKAHDAILY 16/8/22

- Advertisement -