Persembahan hiburan mencolok mata perlu diambil tindakan

Aksi persembahan penyanyi Baby Shima di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini yang tular di media sosial.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Sebut sahaja nama Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli pasti ramai tahu penyanyi dangdut Malaysia yang sebelum ini mencipta nama di Indonesia itu sering terpalit dengan pelbagai kontroversi panas.

Meskipun teruk dikecam netizen susulan teaser sebuah lagu bersama ahli perniagaan kontroversi, Aliff Syukri baru-baru ini, namun ia tidak memberi kesan buat dirinya.  

- Advertisement -

Terbaharu, tular pula aksi persembahan penyanyi itu di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini yang menyebabkan ramai penonton membuat kritikan negatif.  

Menerusi video yang dimuat naik oleh @hafizolraudzi di laman TikToknya, kelihatan penyanyi berkenaan sedang mendendangkan sebuah lagu sambil disaksikan oleh para tetamu yang hadir sambil membuat aksi tariannya.

Menurut laporan media, tindakan penyanyi yang berusia 30 tahun itu telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan tetamu yang hadir kerana tariannya dikatakan sangat seksi, tambahan pula memakai pakaian yang boleh dilabelkan sebagai mencolok mata.

Bukan itu sahaja, laporan itu menyebit bahawa ramai yang tidak sanggup melihat persembahan penyanyi yang berasal daripada Johor itu sehingga menyebabkan mereka tertunduk malu.

Sehubungan itu, Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Dewan Muslimah PAS Malaysia (DMPM), Kartini Ahmad berkata, persembahan Baby Shima di gedung beli-belah berkenaan sangat memalukan memandangkan dia seorang wanita Muslim. 

Kartini Ahmad

“Tindakan dan aksi yang dilakukan Baby Shima di hadapan khalayak umum itu secara tidak langsung telah menjatuhkan maruah diri sendiri, di samping mencemar kesucian agama Islam,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, penyanyi berkenaan sepatutnya perlu memikirkan kesan daripada aksi persembahannya itu akan memberi contoh yang tidak baik kepada generasi muda terutamanya yang beragama Islam atau kanak-kanak yang mungkin melayari platform media sosial.  

“Kita lihat sudah banyak kali, dia menonjolkan aksi-aksi yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang yang beragama Islam di khalayak ramai,” ujar beliau.

Kartini turut memberitahu sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap insiden seumpama ini yang sudah acap kali terjadi di Malaysia.

“Kita nasihatkan dia supaya bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan ini, jangan sampai bala Allah SWT yang lebih berat menimpa (bukan nak mendoakan, sekadar mengingatkan),” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -