Tidak cadang kompaun premis gagal kibar Jalur Gemilang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak bercadang untuk mengenakan kompaun kepada pemilik premis yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata di sebalik tiada tindakan dikenakan, premis perniagaan tetap digalakkan untuk turut sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan.

“Setakat ini kita tidak sampai ke tahap itu (kompaun), meskipun kita lihat semangat Patriotisme menurun khususnya di Kelantan sendiri.

“Kita menggalakkan semua premis perniagaan kibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri bagi menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penutupan Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2022 dan Kempen Bebas Plastik,Polistren & Straw di Dataran Muhammadi, di sini hari ini.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Kuantan dilaporkan akan mengenakan kompaun kepada pemilik perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan pelbagai program seperti konvoi kembara merdeka bagi menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang.

Sementara itu, Dr Izani berkata pihaknya akan mempertingkatkan lagi peruntukan pengurusan kebersihan di Kelantan.

“Kita perlu mengakui kos pengurusan kebersihan tinggi dari sudut kutipan sampah, penyediaan tempat pelupusan sampah dan sebagainya dengan kos yang kita ada tidak memadai.

“Jadi bajet tahun depan kita akan tingkatkan lagi bagi membolehkan kita mendapatkan peralatan-peralatan canggih bagi menguruskan kebersihan serta mengatasi isu-isu berbangkit seperti longkang tersumbat dan sebagainya. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -