Rakyat Malaysia disyaki terlibat kes proses syabu ditahan di Indonesia

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki rakyat Malaysia yang ditahan Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia pada bulan lepas disyaki terlibat dalam kes makmal memproses syabu di Batam.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A Skandaguru berkata bagaimanapun suspek bukan pegawai polis seperti yang didakwa dalam video yang tular menerusi berita TVOneNews di saluran YouTube mengenai penahanan itu.

Advertisement

Hasil semakan mendapati suspek yang ditahan tersebut tidak pernah berkhidmat sebagai pegawai polis, sukarelawan polis atau polis bantuan.

Rekod turut mengesahkan suspek berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan ugutan kekerasan dan menyamar sebagai polis,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung kes terbabit dan bersedia menyalurkan maklumat yang diperlukan dalam usaha membanteras jenayah narkotik.

Terdahulu, tular video di media sosial mengenai penahanan tiga suspek lelaki yang mana seorang daripada mereka merupakan warganegara Malaysia dan didakwa seorang pegawai polis. – BERNAMA