Bakri muncul juara bola jaring PASTI Negeri Johor

KLUANG: PASTI Kawasan Bakri muncul juara bola jaring pada Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Negeri Johor di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn, Jalan Batu Pahat, di sini kelmarin.

Acara tahunan bagi PASTI Negeri ini merupakan kesinambungan daripada Karnival Sukan PASTI yang telah dilangsungkan di setiap PASTI Kawasan sebelum ini.

Pada kejohanan ini, Kontinjen PASTI Bakri dipimpin Setiausaha Kerja PASTI Bakri, Iskandar Ghani Ismail dan Ketua Majlis Guru PASTI Bakri, Rasyidah Kamarudin bersama empat guru pengiring dan 10 pemain masing-masing bagi pasukan acara itu.

Dalam perlawanan sengit yang terikat seri 5-5 hingga mengheret ke masa tambahan itu, pasukan Bakri ternyata unggul memuktamadkan kejuaraan menundukkan pasukan PASTI Kawasan Kulai dengan keputusan 8-6.

Nobat selaku juara itu bermakna PASTI Bakri akan mewakili PASTI Negeri Johor ke Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Kebangsaan yang bakal berlangsung pada 19 dan 20 Ogos depan di Perak.

Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz dalam ucapannya mahu ibu bapa melihat bahawa penglibatan murid dalam kokurikulum juga amat penting dalam mengasah bakat mereka selain akademik.

“Terima kasih kepada guru-guru PASTI yang bertungkus-lumus melatih anak-anak PASTI dan setinggi penghargaan kepada ibu baoa atas sokongan kepada PASTI selama ini,” ujarnya.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Kejohanan, Ustaz Muhammad Nazirul Munir Puniran dan majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah PASTI Johor, Ustaz Muhammad Hairi Hamzah. – HARAKAHDAILY 15/8/2022

Advertisement