GTA boleh bergabung dengan Perikatan Nasional

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kewujudan Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggabungkan beberapa parti minoriti itu sama sekali tidak menggugatkan parti itu.

Malah katanya, kewujudan GTA juga dilihat sukar memberi impak besar terutama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Namun, sebaliknya beliau turut menyeru gagasan tersebut mengambil keputusan untuk bergabung dengan gagasan sedia ada seperti Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat sebagai parti dominan Melayu selepas Umno-BN.

- Advertisement -

“PAS tidak akan sertai GTA kerana kita dah ada gabungan sendiri dan saya tak nampak GTA akan beri satu kesan yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Parti gabungan GTA bukan parti dominan dalam negara ini. Oleh itu saya juga menyeru GTA untuk datang menyertai kita demi untuk penyatuan ummah dan kestabilan negara.

“Ini kerana, perancangan untuk membawa manfaat kepada rakyat dan perpaduan nasional cukup penting,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA iaitu sebuah gabungan bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Katanya, sebagai permulaan gabungan itu dianggotai oleh parti Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra). – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -