Harapan kepada wakil negara acara badminton tambah emas

Ng Tze Yong
- Advertisement -

BIRMINGHAM: Berbaki kurang 24 jam sebelum Sukan Komanwel 2022 edisi Birmingham melabuhkan tirai pada Isnin (8 Ogos), tumpuan peminat tanah air pastinya terarah kepada dua wakil negara yang akan beraksi di pentas final acara badminton.

Susulan prestasi cemerlang sehingga berjaya mara ke peringkat akhir acara perseorangan lelaki, harapan tinggi diletakkan ke atas Ng Tze Yong untuk menambah koleksi pingat emas kontinjen negara pada temasya kali ini.

Pemain berusia 22 tahun itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel, akan bertemu pemain nombor satu India Laksya Sen pada perlawanan akhir.

- Advertisement -

Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah yang menampilkan aksi bertenaga juga menjadi sandaran untuk menyumbangkan emas kepada kontinjen Malaysia, yang setakat ini meraih keseluruhan enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Beregu nombor 11 dunia itu akan berdepan wakil tuan rumah Chloe Birch-Lauren Smith bagi merebut gelaran juara.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang dikejutkan beregu England Ben Lane-Sean Vendy dalam saingan separuh akhir, boleh menarik nafas lega dengan memenangi gangsa.

Pasangan itu menewaskan satu lagi beregu negara Chan Peng Soon-Tan Kian Meng dalam penentuan tempat ketiga.

Di kolam renang, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri terus menampilkan aksi terbaik untuk meraih pingat perak keduanya di temasya kali ini selepas menduduki tempat kedua dalam acara 3 meter papan anjal wanita hari ini.

Semalam, Nur Dhabitah menyumbang perak dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee.

Sementara itu, hasrat pasangan pemain ping pong negara Javen Choong dan Karen Lyne untuk merangkul pingat emas tidak kesampaian apabila tumpas dalam acara beregu campuran.

Beregu negara itu tewas 1-3 (4-11, 11-9, 5-11 dan 6-11) kepada pasangan dari India Sharath Kamal Achanta-Sreeja Akula dalam saingan final.

Dalam pada itu, nasib nyata tidak menyebelahi skuad skuasy negara apabila tiga wakil Malaysia yang beraksi di peringkat separuh akhir tewas kepada lawan masing-masing, hari ini.

Namun, kem skuasy boleh berasa lega apabila satu pingat gangsa sudah dalam genggaman kerana melibatkan pertemuan dua wakil Malaysia iaitu antara Aifa Azman-Rachel Arnold dan Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi pada aksi penentuan tempat ketiga.

Bagi acara beregu lelaki, gandingan negara Ng Eain Yow-Ivan Yuen dijadual berdepan Greg Lobban-Rory Stewart dari Scotland, pada aksi penentuan pingat gangsa esok.

Pada hari ke-11 esok, tumpuan juga di kolam renang bagi menambah koleksi emas Malaysia dalam dua acara yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Komanwel, iaitu 3 meter papan anjal seirama campuran melibatkan gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Nur Dhabitah dan Gabriel Gilbert Daim-Wendy Ng Yan Yee.

Selain itu, 10 meter platform seirama campuran akan turut berlangsung yang akan menyaksikan penampilan Jellson Jabillin-Datuk Pandelela Rinong.

Australia kekal pendahulu keseluruhan kutipan pingat dengan merangkul 66 emas, 55 perak dan 53 gangsa, diikuti England di tempat kedua dengan 55-59-52, manakala Kanada di tempat ketiga 26-31-34.

Selepas berakhir hari ke-10 temasya hari ini, Malaysia turun dua anak tangga di kedudukan ke-11.

Majllis penutup Sukan Komanwel 2022 akan diadakan di Stadium Alexander, bermula 8 malam waktu tempatan atau 3 pagi (Selasa) waktu Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -