Iktibar agung surah al-Isra’ (8)

- Advertisement -

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا

- Advertisement -

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(al-Israk: 32)

Ayat ini menjelaskan mengenai larangan Allah S.W.T daripada mendekati zina dan perbuatan zina itu sendiri. Sesetengah daripada kita menyalah anggap bahawa ayat ini hanya melarang kita daripada mendekati zina dan perbuatan zina itu dibolehkan. Pada pandangan ulamak, jika mendekati zina itu dilarang, maka perbuatan zina itu sendiri lebih besar keburukan dan larangannya. 

Zina itu ada permulaannya. Oleh itu, al-Quran melarang kita daripada mendekati perbuatan zina atau pengenalannya. Ia bermula dengan saling melihat dan memandang antara satu sama lain. Hati mula berkenan. Kemudian, kedua-duanya tersenyum. Lalu bertegur sapa dan memberi salam. Contoh ayat yang digunakan; “Assalamu’alaikum… tak jawab berdosa.” Membuat temu janji untuk bertemu di mana-mana tempat yang orang tidak ganggu. Apabila bertemu, ia akan menyebabkan kita terjerumus ke dalam perbuatan yang tidak baik. Justeru, segala pengenalan tersebut mesti dielakkan. 

Kita diajar supaya menjaga pandangan kita baik lelaki mahupun perempuan. Sebab daripada pandanganlah akan membawa kepada tarikan. Nak pandang boleh namun apabila perlu sahaja. Tengok hanya sekali dan yang perlu sahaja. Misalnya, seorang doktor yang memeriksa pesakit dan seorang guru yang mengajar anak muridnya. Lihat dengan keperluan dan kesopanan, bukan dengan nafsu.

Dalam Islam, bab pakaian sangat dititikberatkan terutama bagi orang perempuan. Mereka diminta untuk menjaga aurat. Hal ini kerana secara psikologinya, orang lelaki tertarik dengan perempuan hanya melalui pandangan. Apabila mereka melihat orang perempuan, ia akan mendorong kepada suatu perasaan. Oleh itu, orang lelaki dituntut untuk menjaga pandangan dan orang perempuan pula dituntut untuk menjaga aurat, contohnya tidak berpakaian ketat dan mendedahkan aurat.

Ada yang berpandangan bahawa yang menjadi mangsa rogol ialah bukan hanya orang perempuan yang berpakaian ketat dan seksi malah ada juga orang perempuan yang memakai tudung dan menutup aurat. Hal ini berpunca daripada pandangan orang lelaki terhadap orang perempuan yang seksi tetapi mereka melepaskan nafsu kepada sasaran yang lain yang terdiri daripada orang yang menutup aurat, kanak-kanak dan orang tua. 

Apabila orang perempuan sama-sama menjaga aurat, ia akan mengurangkan dorongan lelaki yang memiliki nafsu yang liar daripada perbuatan merogol. Ada satu kes di mana seorang guru yang bertudung telah dirogol dan dibunuh oleh pemandu bas. Kajian telah menunjukkan bahawa kes rogol adalah berpunca daripada pandangan dan melihat sesuatu yang boleh menaikkan syahwat.

Selain itu, Islam melarang kita daripada bergaul dengan bebas. Bergaul antara lelaki dan perempuan dibenarkan namun ada batasnya. Terdapat perbezaan antara pergaulan sesama lelaki dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan apatah lagi wanita yang sudah bersuami. 

Di pejabat, wanita yang sudah bersuami haruslah menjaga tingkah laku. Tidak duduk berdekatan dengan lelaki sepejabat sambil berbual dan cuit-mencuit. Pada awalnya boleh kata tiada apa-apa niat, tetapi lama-lama boleh terlajak. Tidak perlu bercakap secara manja, ‘just straight to the point’. Selain minta izin dengan suami untuk bekerja di pejabat, wanita haruslah menyedari bahawa dia ialah isteri orang, begitu juga dengan lelaki yang sudah menjadi suami orang. Oleh itu, kita sama-samalah menjaga dan beringat kerana perbuatan zina ialah suatu kejahatan yang buruk (amat besar keburukannya). 

Kesannya boleh menjatuhkan maruah lelaki (kerana menyetubuhi perempuan yang haram baginya) dan perempuan tersebut (kerana telah membenarkan tubuhnya disetubuhi oleh lelaki lain). Selain itu, ia membawa kepada percampuran nasab yang tidak diketahui sama ada daripada benih suami sendiri atau lelaki lain. Jika anak itu ialah hasil daripada zina dan tidak diketahui nasabnya, anak itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan dengan nama suami kerana dia ialah anak haram. 

Jika anak itu seorang perempuan, akan timbul banyak masalah. Yang pertamanya, hubungan antara anak itu dengan suaminya adalah bukan mahram (bukan yang haram dikahwini) kerana dia bukan daripada keturunan suaminya (daripada benih lain). Bermakna anak itu boleh berkahwin dengan suaminya. 

Masalah yang keduanya adalah dari segi aurat. Yang ketiganya pula akan timbul masalah dari segi wali nikah. Suaminya tidak boleh menjadi wali nikah kepada anak itu kerana anak itu ialah anak hasil hubungan haram. Jika suaminya telah menjadi wali nikah kepada anak itu akibat tidak tahu, maka nikahnya menjadi tidak sah. Apabila nikah tidak sah, anak itu yang tinggal bersama dengan suaminya telah tinggal dalam keadaan berzina. Hubungan suami isteri itu menjadi zina sepanjang masa. Lahirnya anak menjadi anak yang lahir daripada perbuatan zina. Allahu Akbar …

Jika hubungan zina ini dibiarkan berleluasa dalam kalangan kita, maka kita tiada bezanya dengan binatang. Tiada maruah dan harga diri. Oleh itu, buruknya perbuatan zina ini dan disebut sebagai salah satu dosa besar. Apabila kita mempunyai kuasa, kita hendaklah membuat peraturan-peraturan yang menjauhkan anggota masyarakat daripada perbuatan zina contohnya tidak bergaul dengan bebas dalam suatu majlis. 

Batasan perlu ada dalam kehidupan. Misalnya tandas dibuat secara asing bagi lelaki dan perempuan. Di negara Barat pun mengasingkan tandas. Jika masuk sesuka hati, kita akan ditangkap. Di Bangkok, ada bas untuk lelaki dan ada bas untuk wanita. Hal ini kerana diketahui bahawa akan ada yang mengambil kesempatan ketika bersesak-sesak di dalam bas. 

Kebebasan akan menimbulkan banyak masalah kerana bukan semua orang baik. Berkemungkinan seorang sahaja yang jahat tetapi semua menjadi kelam-kabut. Misalnya di dalam kampung, jika ada seorang pencuri, ia sudah pun memadai untuk menyebabkan orang lain menjadi cemas. Orang yang ada kereta baru dan rumah besar, semuanya tidak dapat tidur dengan lena. Orang yang pergi ke masjid pun berasa tidak tenang kerana bimbang seliparnya akan hilang. 

Dalam hadis yang bermaksud:

“Suatu ketika Rasulullah didatangi oleh seorang pemuda yang ingin berzina, dia berkata, “Wahai Rasulullah, izinkan aku untuk berzina (mendengar hal itu) orang-orang mencelanya dan berkata, ‘Cukup..cukup’. Kemudian Nabi bersabda,“Suruhlah dia mendekat!”

“Lalu pemuda itu pun mendekati Rasulullah hingga jaraknya dekat sekali, kemudian duduk. Setelah itu Nabi berkata kepadanya: “Apakah kamu suka jika perzinaan terjadi pada ibumu?”

“Pemuda itu menjawab : “Tidak, demi Allah”. Nabi melanjutkan pertanyaan nya, “Demikian pula orang lain, mereka tidak suka jika perzinaan terjadi pada ibu-ibu mereka.”

“Nabi bertanya kembali, “Apakah engkau suka jika perzinaan terjadi pada puterimu?”

“Dia menjawab : “Tidak, demi Allah”. Nabi menjawab : “Demikian pula orang lain, mereka tidak suka jika perzinaan terjadi pada puteri-puteri mereka.”

“Nabi bertanya kembali : “Apakah engkau suka jika perzinaan terjadi pada saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak demi Allah.”

“Nabi menjawab, “Demikian pula orang lain, tidak suka perzinaan terjadi pada saudara perempuan mereka.”

“Nabi bertanya kembali, “Apakah engkau suka jika perzinaan terjadi pada saudara wanita ayahmu (bibi dari pihak ayah)?” Pemuda itu menjawab, “Tidak demi Allah.” Nabi menjawab, “Demikian pula orang lain, tidak suka perzinaan terjadi pada bibi mereka.”

“Nabi bertanya kembali : “Apakah engkau suka jika perzinaan terjadi pada saudara wanita ibumu (bibi dari pihak ibu)?” Pemuda itu menjawab, “Tidak demi Allah.” Nabi menjawab, “Demikian pula orang lain, tidak suka perzinaan terjadi pada bibi mereka.”

“Kemudian Nabi meletakkan tangannya pada tubuh pemuda itu dan berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya, dan jagalah kemaluannya” [1]

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang lelaki yang baru memeluk Islam. Dia mempunyai nafsu yang kuat. Setelah mengucap dua kalimah syahadah, dia pergi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dia memberitahu Baginda S.A.W bahawa dia boleh melakukan apa sahaja yang disuruh namun tidak dapat mengawal nafsu syahwatnya apabila melihat orang perempuan. Dia bertanya adakah boleh dia berzina? 

Semua terkejut dengan pertanyaannya malah para Sahabat pun berasa naik angin dan ingin menumbuknya. Baginda S.A.W melarang Sahabat daripada berbuat sedemikian dan meminta supaya lelaki itu datang mendekatinya. Baginda S.A.W ingin mendapatkan kepastian daripadanya dan memberikannya kesedaran akan keburukan berzina. 

Nabi S.A.W bertanya adakah dia menyukai sekiranya ada orang yang berzina dengan ibunya? Dia menjawab bahawa dia tidak ingin hal sedemikian terjadi. Nabi S.A.W bertanya lagi adakah dia menyukai sekiranya ada orang yang berzina dengan isterinya? Dia menjawab dengan jawapan yang sama. Nabi S.A.W bertanya lagi bagaimana dengan anaknya? Dia masih menjawab dengan jawapan yang sama. 

Nabi S.A.W melanjutkan persoalan dengan menyatakan ibu saudara, adik-beradik perempuan, cucu, menantu dan nenek. Dia masih menjawab dengan jawapan yang sama. Lalu Nabi S.A.W memberitahu bahawa orang lain juga tidak ingin hal sedemikian terjadi. Apabila mendengar jawapan Nabi, dia termenung dan mulai sedar akan sebab Islam melarang perbuatan tersebut. 

Kemudian Nabi S.A.W meletakkan tangan di dada lelaki itu dan membaca satu doa yang bermaksud; “Wahai Tuhan, bersihkanlah hati orang ini dan jagalah kemaluannya daripada perbuatan zina.”Selepas bertemu dengan Nabi, dia memberitahu kepada orang ramai bahawa tiada perkara yang paling dia benci kecuali perbuatan zina. Demikianlah berkatnya kerana dia memahami sebab Islam melarang zina. Betapa pentingnya untuk kita menuntut ilmu. Melepaskan nafsu memang seronok tetapi kita kena fikir akan kesannya dan perasaan orang lain. 

Perkara ini perlu kita fikir mengapa Allah S.W.T melarang kita daripada melakukan zina. Ada manusia yang memiliki nafsu yang kuat (hadir secara semulajadi). Oleh sebab itu, lelaki diberi peluang untuk berkahwin dengan empat orang isteri. Berkemungkinan isterinya menghadapi penyakit, jadi lelaki boleh melepaskan nafsunya dengan mengahwini wanita lain. Jadi, seorang isteri yang berpenyakit atau uzur perlu memberikan pertimbangan sekiranya suami meminta untuk berkahwin lagi. 

Islam mengambil kira akan hal tersebut dan ia sesuai dengan sifat manusia. Oleh sebab itu, manusia dituntut untuk berkahwin. Kahwin ada peringkat-peringkatnya. Ada kala menjadi wajib apabila tidak boleh menahan nafsu yang kuat ketika melihat orang perempuan. Jika tidak berkahwin, akan timbul masalah besar pada dirinya contoh dia akan melakukan zina. Ada kala hukum berkahwin adalah sunat apabila seseorang itu boleh mengawal perasaannya. Jadi nak berkahwin atau tidak, tidak mengapa. 

Ada kala hukum berkahwin adalah haram apabila seseorang itu tiada nafsu atau mati pucuk kerana dia tidak boleh menunaikan tanggungjawabnya dan menyeksa pasangannya. Jika sudah berkahwin, didapati suami ada masalah, maka isteri boleh minta cerai dengan suaminya. Jadi lelaki yang mengetahui bahawa dia ada masalah itu, diharamkan untuknya berkahwin. Sebab salah satu tanggungjawab suami setelah berkahwin ialah memenuhi tuntutan nafkah batin isterinya. 

Tujuan perkahwinan selain menyalurkan syahwat manusia adalah untuk melahirkan zuriat. Zuriat dilahirkan melalui perhubungan antara lelaki dan perempuan. Allah S.W.T memberikan nafsu kepada manusia supaya berkahwin. Melalui perkahwinan akan lahirnya keturunan. Apabila ada keturunan, kehidupan akan berterusan sehingga ke hari kiamat. 

Jika semua tidak ingin menikah, selepas kita meninggal dunia, siapa yang nak hidup? Zuriat inilah yang akan menjadi makmum solat fardhu, solat Jumaat dan solat hari raya di masjid. Oleh itu, suami dan isteri masing-masing perlu sihat agar tujuan perkahwinan dapat dicapai. Jika ada masalah, pergilah buat rawatan tetapi berhati-hati juga dengan ubat-ubatan yang diambil kerana telah ada kes sehingga meninggal dunia. 

Orang yang mempunyai nafsu yang kuat tetapi belum berkemampuan, berpuasalah. Puasa yang membuatkan kita lapar dan letih boleh melemahkan syahwat. Dengan berpuasa, kita menjaga diri daripada melakukan maksiat dan juga zina:

وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلْطَٰنًا فَلَا يُسْرِف فِّى ٱلْقَتْلِ إِنَّهُۥ كَانَ مَنصُورًا

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syara’).”

(al-Israk: 33)

Jika seseorang itu disabitkan kesalahan membunuh, maka dari segi hukumnya dia perlu dibunuh balas (hukum Qisas) kecuali keluarga si mati memaafkannya. Jika keluarga si mati memaafkannya, dia perlu membayar diyah iaitu pampasan atau ganti rugi. Pada suatu ketika dahulu di Acheh, keluarga si mati tidak perlu membawa bukti ke mahkamah, mereka boleh menangkap dan membunuh si pesalah. 

Tetapi mengikut mazhab Syafie, hanya kerajaan yang berhak melaksanakannya dan kita tidak boleh memberkas dan membunuh si pesalah sesuka hati. Tujuan Islam membenarkan hukuman bunuh balas adalah untuk menghalang perbuatan membunuh daripada berterusan. Sebab jika kita tidak membunuhnya dan dia pula tidak bertaubat, kita hanya memenjarakannya. Maksima hanya penjara seumur hidup. 

Di Amerika, berlaku kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan. Apabila kes dibicarakan di mahkamah, ibu kanak-kanak itu menjadi saksi, dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Di negara Barat, tiada penjara sehingga mati. Pesalah itu berusia lebih kurang 20 tahun. Setelah keluar dari penjara dalam usia 40 tahun, dia mencari ibu kanak-kanak itu dan mengugut untuk membunuhnya. Inilah masalah yang berlaku. 

Dalam Islam, hukuman bunuh balas adalah bertujuan untuk mematikan sifat jahatnya. Ia juga akan menghentikan ‘serial killer’ (pembunuhan bersiri). Apabila dibunuh balas, cerita orang jahat sudah ditutup. Orang lain pun akan menyedari hukuman yang bakal dihadapi jika berbuat hal yang sama. Oleh itu, kita haruslah memahami agama dari sudut positif. Jangan mudah percaya dengan pengaruh Barat yang mendakwa hukuman tersebut dianggap zalim kerana masalah jenayah di negara mereka sendiri pun tidak berjaya diselesaikan apatah lagi dikurangkan. 

Di Saudi pula, kes rogol atau pembunuhan berkurangan kerana mereka berasa takut untuk melakukannya. Jadi jika kita tidak dapat menghapuskan kes-kes tersebut, dapat kurangkan peratusannya pun sudah memadai. Inilah kebaikan hukuman dalam Islam di mana sifatnya ‘prevent’ (mencegah). 

Menurut Imam Al-Ghazali, jika kita mempunyai anak, belilah rotan dan letakkannya di pintu agar anak dapat melihatnya setiap hari. Bukan untuk merotannya namun untuk membuatkannya berasa gerun. Sekurang-kurangnya anak kita akan berfikir dua kali sebelum hendak melakukan apa-apa. 

Oleh sebab itu, syarat untuk menjatuhkan hukuman hudud adalah ketat. Bukan asal mencuri, terus potong tangan. Bukan asal dengar orang berzina, orang itu terus direjam. Kita perlu melihat kes tersebut terlebih dahulu dengan teliti. Kata Imam Abu Al-A’la Al-Maududi, hukuman rejam, zina dan mencuri dalam Islam seolah-olah seperti mustahil untuk dilaksanakan. Hukumannya bersifat seperti simbol sahaja kerana untuk mendapatkan bukti amatlah susah. 

Contoh perbuatan zina; perlu ada 4 orang saksi yang melihat pada satu masa, tempat yang sama dan melihat ibarat keris dimasukkan ke dalam sarungnya atau timba yang dimasukkan ke dalam telaga. Hal tersebut mustahil dapat dilihat kecuali perbuatannya dilakukan di tengah-tengah jalan. Jika terdapat hanya seorang saksi yang melihat, hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan dan digantikan dengan hukuman Takzir atau dera. Betapa rumitnya dalam mendapatkan saksi kerana ia melibatkan nyawa orang. Oleh sebab itu, dalam sejarah tiada kes zina yang disabitkan dengan saksi. 

Hadis riwayat Abu Hurairah R.A (al-Bukhari, kitab al-Hudud) yang bermaksud:

“Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah S.A.W di dalam masjid. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.”

“Rasulullah S.A.W berpaling ke arah lain [yakni seperti tidak melayannya], lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali.

“Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah S.A.W bersabda: “Adakah engkau gila?”

“Dia menjawab: “Tidak.”  Rasulullah S.A.W bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin?”

“Dia menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan (para Sahabatnya): “Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia. [2]

Kes yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.A.W; orang yang berzina itu sendiri mengaku atas perbuatannya. Misalnya Ma’iz bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan mengaku di hadapan Baginda S.A.W bahawa dia telah melakukan zina. Pengakuannya dibuat sebanyak tiga kali namun Baginda S.A.W berpaling daripadanya. Sehinggalah pada kali ketiga, Nabi S.A.W mengangkat mukanya dan bertanya kepada para Sahabat untuk kepastian bahawa Ma’iz bukan orang yang tidak waras. Setelah Maiz betul-betul mengaku, dia direjam dengan batu. Nabi S.A.W tidak pula bertanya mengenai siapa wanita yang dia berzina dan mencari wanita itu. Inilah keindahan Islam yang ditunjukkan oleh Baginda S.A.W.

Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud) yang bermaksud:

“Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah S.A.W. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya.”

“Sabda Rasulullah S.A.W: “Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah.”

“Wanita itu berkata lagi: “Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma’iz bin Malik?”

“Rasulullah S.A.W bertanya: “Apakah masalah engkau?”

“Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina.

“Rasulullah S.A.W bertanya: “Apakah benar?”

“Wanita itu menjawab: “Ya.”

“Rasulullah S.A.W bersabda: “Bersalinlah dahulu.”

“Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah S.A.W memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: “Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya itu tidak menyusu.” Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: “Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah.” Lalu Rasulullah S.A.W merejam wanita itu [3].”

Kes lain adalah di mana seorang perempuan dari kabilah al-Ghamidiyah yang mengandung datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan mengaku telah berzina serta menyesal atas perbuatannya. Anak yang dikandungnya menjadi bukti. Setelah diperiksa, terbukti benar bahawa dia tidak mempunyai suami. Nabi S.A.W menyuruhnya agar pulang terlebih dahulu dan tunggu sehingga melahirkan. Setelah melahirkan, wanita itu datang kembali bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan membawa anaknya bersama. Dia merayu agar dirinya dihukum kerana dia benar-benar menyesal. Nabi S.A.W menyuruhnya pulang dan memelihara anaknya sehingga boleh makan makanan yang keras. Kemudian, dia kembali semula dan menunjukkan anaknya sudah boleh makan makanan yang keras di hadapan Rasulullah S.A.W.

Lalu setelah dia mengaku dan orang lain pun mengatakan bahawa dia bukan seorang penipu, anaknya diambil dan diberikan kepada orang lain untuk dipelihara. Kemudian dia ditanam sekerat pinggang dan dibaling dengan batu. Semasa membalingnya, darahnya terpercik kepada salah seorang Sahabat. Sahabat itu menyumpah wanita itu lalu Nabi S.A.W menegurnya kerana wanita itu sudah suci. Allah S.W.T telah membersihkannya ibarat dia tidak melakukan dosa tersebut. Sebab dia sendiri telah mengaku dan dijatuhkan hukuman. Jadi, kes-kes zina pada zaman Nabi S.A.W tidak melibatkan saksi. 

Betapa susahnya untuk mendapatkan saksi seramai empat orang kerana perbuatan zina tidak dilakukan di hadapan khalayak ramai. Nabi S.A.W memberitahu hukuman bagi perbuatan zina adalah untuk memberi peringatan kepada kita supaya kita berasa takut untuk melakukannya. Jika ada empat orang saksi yang melihat perbuatan zina dari awal hingga akhir, itu bukan manusia. Sebab manusia mempunyai perasaan malu. 

Saksi yang diperlukan ialah empat orang yang melihatnya secara serentak, pada masa yang sama dan di tempat yang sama, yang baik akhlaknya dan adil iaitu tidak berbohong, tidak fasik dan menjaga solat. Amat mustahil untuk menemui saksi-saksi tersebut, oleh sebab itu susah nak menjatuhkan hukuman. Misalnya dilihat seorang lelaki duduk bertiarap di atas perut perempuan dan kedua-duanya berbogel, menurut ulamak itu belum boleh dikatakan bahawa mereka berzina. Sebab berkemungkinan lelaki itu berada dalam keadaan sebegitu sehingga ke waktu pagi tetapi alatnya tidak ‘hidup’. Sebab keduanya berkemungkinan alatnya tiada atau putus akibat kemalangan. Tiada yang mengetahui akan hal itu melainkan isterinya. Betapa telitinya ulamak dalam hal ini. 

Pada zaman Sayyidina Umar R.A, kes kecurian telah berlaku dan orang itu disabitkan kesalahan mencuri pada musim kemarau panjang. Dia ditangkap dan dibawa bertemu dengan Sayyidina Umar. Dia mengaku atas perbuatannya kerana barang yang dicuri berada di tangannya dan dia ditangkap di dalam gudang serta tidak dapat melarikan diri. Dia memberitahu bahawa dia mencuri kerana dia dan keluarganya lapar dan anaknya sedang sakit. Jadi, Sayyidina Umar tidak memotong tangannya cuma menghukumnya dengan cara yang lain. Hal ini kerana terdapat syubhah (keraguan kes); mencuri bukan kerana jahat atau kepentingan lain, tetapi kerana lapar. Keadaan yang lapar memaksa dia untuk mencuri. 

Dalam kes yang lain pula, ada seorang pekerja yang ditangkap oleh majikannya kerana mencuri di dalam gudang. Setelah disoal siasat, dia pun mengaku atas perbuatannya. Dia mencuri kerana lapar dan gaji yang dibayar oleh majikan tidak mencukupi dan lewat bayarannya. Apabila diketahui oleh Sayyidina Umar, terbukti benar mengenai tindakan majikannya. Majikan itu ditegur oleh Sayyidina Umar dan memberi amaran sekiranya pekerja masih mencuri, tangan majikan itulah yang akan dipotong [4]. 

Hukuman bunuh dibenarkan dalam beberapa perkara seperti orang yang berkahwin tetapi berzina dan juga murtad. Dalam suatu Hadis:

عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنِّي رَسُوْلُ اللهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ : الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

“Dari Ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu dia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa saya (Rasulullah S.A.W) adalah utusan Allah kecuali dengan tiga sebab: Duda/janda (orang yang telah pernah menikah) yang berzina, membunuh orang lain (dengan sengaja), dan meninggalkan agamanya berpisah dari jamaahnya [5].” 

Tidak halal darah seseorang Islam itu kecuali dengan salah satu daripada tiga sebab iaitu orang yang pernah berkahwin sama ada lelaki atau perempuan tetapi berzina. Yang kedua ialah hukuman Qisas iaitu bunuh balas. Yang ketiga ialah orang yang keluar dari Islam iaitu murtad. Dalam keadaan biasa, kita tidak boleh membunuh orang. 

Hukuman bunuh boleh dijatuhkan terhadap orang yang murtad. Menurut Imam Syafie, orang yang murtad diminta untuk bertaubat dalam tempoh masa selama tiga hari. Jika tidak, dia akan dikenakan hukuman pancung. Ada mazhab lain yang tidak membenarkan orang yang murtad dibunuh jika dia murtad seorang diri. Sebab dia tidak menjadi ancaman kepada negara. 

Ideologi negara Islam adalah akidah. Jika dia murtad, dia dikira telah derhaka terhadap agama. Sesiapa yang mati dibunuh secara zalim, Allah S.W.T memberikan kuasa kepada waris-warisnya untuk menuntut bela. Namun ketika membunuh balasnya, jangan pula melebihi dan biarlah sepadan dengan apa yang sudah dilakukannya kepada ahli keluarga kita. Misalnya dia menembak satu kali keluarga kita lalu meninggal. Kita nak membalasnya sudah memadai dengan menembaknya satu kali juga. Bukannya menembaknya dengan menggunakan ‘machine gun’

Jika dia membunuh dengan satu tembakan, maka balaslah juga dengan satu tembakan. Jika dia membunuh dengan pancung, maka bunuhlah juga dengan memancungnya. Jika dia membunuh dengan menetak, maka bunuhlah juga dengan menetaknya. Jika dia membunuh dengan menikam, maka bunuhlah juga dengan menikamnya. 

Jangan kita mengambil peluang untuk menyeksanya. Kita memotong kaki dahulu, kemudian tangan, barulah kita membunuhnya. Ini sudah melebihi apa yang sepatutnya. Hukum Qisas mestilah tepat. Jika mata hendaklah dibalas dengan mata, jika telinga hendaklah dibalas dengan telinga dan jika hidung hendaklah dibalas dengan hidung. Sebanyak mana yang dilakukan, sebanyak itulah harus dibalas. Walaupun bukan mudah untuk melakukannya secara ‘precise’ atau tepat tetapi itulah kaedah yang diajarkan oleh Islam. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 1 Ogos 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

Rujukan:

[1] Hadis riwayat Imam Ahmad (5/256).

[2] Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 6825) dan Imam Muslim (no. Hadis 1691).

[3]

[4]Dikeluarkan oleh Abdul Razzaq dalam kitab al-Musannaf (18799).

[5] Hadis Muttafaqun Alaih riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

- Advertisement -