Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau bermula 2023

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR PUTEH:
Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau sekarang di peringkat pra-pelaksanaan yang melibatkan makmal pengurusan nilai (value management) Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, tender tersebut dibuat secara berperingkat mengikut enam kompenan kemudahan.

Kompenan itu termasuk stadium utama berkapasiti 20,000, arena tertutup, stadium hoki, pusat skuasy, gelanggang boling padang dan lapang sasar menembak dengan kemudahan indoor dan outdoor.

- Advertisement -

“Tender pembinaan akan dikeluarkan akhir bulan ini, pembinaan kompleks dijangka bermula awal tahun 2023 dan akan siap pada penghujung tahun 2025.

“Kompleks sukan tersebut bakal mempunyai kemudahan seperti ruang pejabat, bilik persalinan, bilik rawatan, bilik media, bilik doping, surau dan gimnasium,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak Kompleks Sukan Bukit Merbau seluas 160 ekar dekat sini semalam.

Hadir sama anggota-anggota Exco Kerajaan Wan Roslan Wan Hamat, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Mohd Suhaili Ismail.

Mustapa juga berkata pembinaan tersebut akan dipantau Unit Penyelaras Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Usaha itu katanya bagi memastikan pembinaannya mengiku jadual ditetapkan khususnya untuk kegunaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026 sebagai tuan rumah.

Menurutnya, projek tersebut merupakan komitmen kerajaan pusat dan negeri bagi membangunkan kemudahan sukan yang dinanti-nanti rakyat Kelantan. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -