Kepimpinan Muhyiddin masih diperlukan hadapi PRU15

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih diperlukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sebagai pemimpin masa depan, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memilih untuk berundur maka semua pihak perlu hormat hak dan keputusannya.

“Pada pandangan parti dan saya sendiri, Tan Sri Muhyidin masih diperlukan untuk menerajui PN bukan hanya untuk PRU15 sahaja tetapi untuk masa akan datang.

- Advertisement -

“Tetapi kalau dia merasakan tak nak teruskan, itu haknya, kita tidak boleh hendak kata apa,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan mahu bersara daripada gelanggang politik bagi membolehkan beliau meluangkan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun mantan Perdana Menteri itu juga tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU15 sekiranya parti memutuskan beliau dipilih sebagai calon sekaligus menjadi penggal terakhir buatnya.

Ketika diminta mengulas mengenai bayangan PRU15 yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS sentiasa bersedia.

Malah katanya, kebiasaannya semua parti sudah membuat persiapan apabila memasuki tahun keempat penggal Parlimen ke-14.

“Persiapan kita sudah sampai tahap tinggi sebab memang apabila masuk tahun keempat dan kelima dia akan bubar dewan. Itu kelazimannya.

“Jadi mana-mana parti akan bersedia untuk itu. Isytihar tak isytihar bubar parlimen itu cerita nombor dua,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2022

- Advertisement -