Beli petrol, diesel lebih 20 liter perlu permit khas

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Syarikat berskala kecil, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan persendirian dengan kuantiti melebihi 20 liter perlu memohon permit khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Mana-mana pihak yang membeli dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit khas,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dalam kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan media dan media sosial berhubung larangan pembelian bahan api petrol dan diesel menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas tanpa kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tular di media sosial hantaran seorang individu yang memaparkan sehelai kertas bertulis antaranya “Semua kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dilarang membeli petrol dan diesel dengan menggunakan drum, tong plastik atau apa-apa bekas kecuali mendapat kebenaran bertulis Pegawai Bekalan”.

Nanta berkata di bawah peruntukan undang-undang Akta Kawalan Bekalan 1961, setiap stesen minyak mesti mempunyai lesen di bawah akta terbabit bagi membolehkan stesen minyak berkenaan berurus niaga dengan minyak petrol dan diesel.

Antara syarat lesen tersebut adalah stesen minyak tidak dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali pada tangki asal kenderaan berkenaan atau yang telah diluluskan agensi berkaitan; dan pihak yang mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya.

Nanta berkata pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui permit khas itu boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang telah diluluskan.

Antara pihak yang telah mendapat permit khas daripada KPDNHEP adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pedalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa (bukan pemegang kad e-nelayan), katanya.

Nanta berkata permohonan permit khas itu boleh dibuat melalui sistem Mysubsidi Permit Khas secara dalam talian di portal http://permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran dan kelulusan akan diberikan dalam tempoh kurang dari tujuh hari.

“Permit khas ini adalah percuma dan tidak dikenakan apa-apa bayaran serta terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -