Rakyat Kedah digalak pakai pelitup muka di tempat awam

Dato' Dr Mohd Hayati Othman
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Rakyat Kedah dinasihat memakai pelitup muka di tempat awam serta mengelakkan berada di tempat sesak, manakala mana-mana individu yang berisiko terdedah Covid-19 hendaklah segera menjalani ujian kendiri sekiranya bergejala.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan (PBT), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, saranan itu dibuat berikutan terdapat peningkatan kes baharu Covid-19 di Kedah. 

- Advertisement -

Menurutnya, sehingga 21 Julai lepas sebanyak 109 kes baharu dikesan melibatkan 69 kes (63.3 peratus) berumur 19 hingga 59 tahun, manakala 18 kes (16.5 peratus) melibatkan warga emas.

“Kes-kes yang dilaporkan hanya menunjukkan gejala ringan dan dikuarantin di rumah masing-masing dan dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi di klinik-klinik kesihatan secara maya.

“Bagi kes-kes yang memerlukan rawatan ia akan dimasukkan ke wad-wad  Covid-19 di hospital kerana Pusat Kawalan dan Rawatan Covid (PKRC) di Kedah ditutup 15 Mei lalu,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun kata beliau, keadaan Covid-19 di Kedah masih terkawal dan pemantauan situasi diteruskan dari semasa ke semasa. 

Mengenai penyakit tangan, kuku dan mulut (HFMD) pula Dr Mohd Hayati berkata, berlaku penurunan 81 kes (43.6 peratus) berbanding sebelum ini.

“Terbaharu, 105 kes baharu dilapor tetapi menurun 81 kes berbanding minggu sebelumnya. Ini bermakna HFMD di Kedah sehingga 16 Julai lepas sebanyak 6,348 kes.

“Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” ujarnya.

Sementara bagi kes Influenz-Like Illness (ILI), kata beliau, berlaku penurunan dan hanya satu kes sahaja dilaporkan melibatkan pelajar asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Walau bagaimanapun menurut beliau, usaha perlu diteruskan di semua peringkat bagi memastikan tiada wabak baru berlaku. 

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) menasihatkan orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit berjangkit dengan mengamalkan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitizer). – HARAKAHDAILY 26/7/2022

- Advertisement -